Thursday, February 28, 2013

Pengikut Twitter Lisa Surihani, Zizan & Aaron Lebih 1 Juta


Lisa Surihani

Tiga pelakon popular berjaya mengekalkan pengaruh menerusi laman sosial Twitter masing-masing apabila kekal dengan jumlah pengikut teramai iaitu melebihi sejuta orang.

Pemantauan yang dibuat sehingga pukul 2 petang pada Rabu mendapati pelakon Lisa Surihani yang sebelum ini berada pada tempat teratas mengekalkan kedudukannya apabila mencatatkan 1.17 juta pengikut.

Lisa menggunakan nama @LisaSurihani menerusi akaunnya.

Pelawak Zizan Razak menerusi akaun @zizanrajalawak pula berada pada kedudukan kedua dengan jumlah pengikutnya seramai 1.12 juta sementara bintang dari Singapura iaitu Aaron Aziz berada pada kedudukan ketiga.

Aaron menerusi akaun @Aaron535Aziz mempunyai pengikut seramai 1.01 juta.

Pelakon Shaheizy Sam pula menduduki tempat keempat dengan 898,775 pengikut manakala Datuk Siti Nurhaliza berada pada kedudukan kelima seramai 827,633.

Bagaimanapun jumlah pengikut itu masih belum berjaya memintas pengikut Twitter Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu seramai 1.3 juta.
Zizan Razak

Sementara itu mengulas mengenai kedudukannya yang berada pada tangga teratas Lisa, 26, berkata pada awalnya, dia membuka akaun Twitter adalah sekadar suka-suka seperti pengguna Twitter lain.

Namun, maklum balas positif membuatkannya lebih aktif dalam berkongsi maklumat dan kegiatan harian kepada pengikut Twitter.

"Saya mula buka akaun Twitter pada 2009, namun ketika itu tidak pernah terfikir untuk menulis dan berkongsi semua aktiviti saya kepada umum.

"Saya juga tidak menjangkakan mendapat lebih sejuta followers seperti hari ini," ujarnya.

Jelas Lisa, Twitter menjadi salah satu medium komunikasi antara dia dengan peminat-peminatnya secara tidak langsung.

"Saya memang ada satu sesi menjawab soalan peminat, di mana dalam sehari saya akan luangkan sedikit masa untuk menjawab soalan-soalan daripada followers," katanya.

Lisa yang mengakui kepentingan media sosial ini mengakui aktif dengan dunia media sosial seperti Facebook, Twitter dan kini Instagram.

"Ketika awal menjadi pelakon saya aktif dengan Fan Page Facebook dengan menghantar video-video terkini yang saya rakam khas untuk peminat.

"Kini dunia media sosial sibuk dengan Instagram pula, yang mana peminat lebih suka melihat gambar-gambar terbaru kita," katanya.

Aaron Aziz

Sementara itu, Zizan Razak, 29, juga menganggap Twitter sebagai cara dia mendekati peminat-peminatnya.

"Jika saya ada masa terluang memang saya akan bertanya khabar dan berborak dengan pengikut-pengikut di Twitter.

"Dari situ juga kita boleh tahu tahap penerimaan dan pandangan mereka terhadap kita, sebab di Twitter mereka akan cakap terus sama ada suka atau tidak," katanya.

Ujar Zizan, Twitter juga boleh menjadi salah satu medium untuk dia mempromosi sesuatu filem atau aktiviti dilakukannya kepada peminat.

"Peminat lebih mudah untuk mengikuti perkembangan saya dari semasa ke semasa, namun begitu apa yang saya perhatikan mereka lebih suka jika saya tulis perkara-perkara yang saya sedang hadapi. Contohnya seperti mengeluh tentang jalan sesak," katanya.

Aaron Aziz tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen kerana berada di luar negara.

Berikut ini senarai 11 pengikut teramai Twitter artis sehingga 2 petang, 27 Februari 2013.

1. Lisa Surihani – 1,179,061

2. Zizan Razak – 1,126,768

3. Aaron Aziz – 1,014,085

4. Shaheizy Sam – 898,775

5. Datuk Siti Nurhaliza – 827,633

6. Datuk Aznil Nawawi – 695,164

7. Wardina Safiyyah – 659,164

8. Nora Danish – 623,634

9. Irma Hasmie – 601,742

10. Neelofa - 600,768

11. Fazura – 553,286

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails