Monday, April 15, 2013

Amanda Peet terus menyerlah



Amanda Peet
Amanda Peet

AKTRES berusia 41 tahun ini memulakan kariernya sebagai pelakon sekitar 1955. Ketika itu, dia baru sahaja menamatkan pelajaran di Universiti Columbia.

Walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang bagus, namun minat mendalam terhadap dunia komersial mengatasi segalanya.

Kerana itu, dia memberanikan diri dan berjinak-jinak menyertai pelbagai uji bakat sebagai model iklan komersial sebagai permulaan.

Tidak perlu menunggu lama, berbekalkan wajah eksotiknya, pemilik nama Amanda Peet ini sekelip mata menjadi perhatian pengarah.

Menariknya, pada tahun itu juga, dia telah dilamar membintangi filem pertamanya arahan Craig Singer yang berjudul, Animal Room.

Selepas itu, pelbagai filem lakonan hebatnya menyusul seperti She’s the One, Grind dan Touch Me.

Bahkan, setiap tahun ada sahaja buah tangan terbaru dari Peet ketika itu.

Kerana prestasinya juga, dia berpeluang berdampingan bersama George Clooney and Michelle Pfeiffer menerusi filem One Fine Day.

Sedikit mengenai kariernya sebagai pelakon drama pula, Peet amat terkenal menerusi drama bersiri Spin City, Sinfield dan Jack & Jill.

Penangan Kate Curtis

Terkenal menerusi gayanya yang bersahaja ketika membawakan watak yang diterimanya, Peet pernah diangkat sebagai aktres versatil dalam arena seni Hollywood.

Bagi pengkritik filem negara itu, ibu kepada dua anak ini mampu menggalas pelbagai genre peranan dengan baik.

“Dia mampu menjadi wanita kelakar, psiko, romantik serta yang melibatkan aksi.

“Ini dapat dilihat menerusi filem Saving Silverman, Something’s Gotta Give, Identity dan The X-Files: I Want to Believe,” kata mereka.

Pun begitu, dalam banyak-banyak filem lakonannya, bintang filem A Lot Like Love ini, paling diingati  ketika menjadi Kate Curtis menerusi filem 2012 sentuhan pengarah Roland Emmerich.

Dalam filem itu, Peet memainkan peranan sebagai pelajar perubatan yang juga bekas isteri kepada salah satu watak dalam filem bencana alam box-office itu, Jackson.

Buah tangan terbaru

Baru sahaja muncul menerusi filem The Good Wife tahun lalu, tahun ini Peet tidak terkecuali membuka tahun ini dengan buah tangan terbarunya.

Mengambil judul Identity Thief, filem ini memerlukan Peet membawa watak sebagai Trish iaitu seorang isteri yang nekad membantu menyelesaikan masalah menimpa suaminya, Sandy.

Mengulas mengenai wataknya kali, bagi Peet, ia tidak memberikan sebarang kesukaran kerana dia sudah sinonim melakonkan pelbagai genre filem mahupun drama.

“Setiap kerja yang diterima pasti ada cabarannya, namun apabila sudah sebati dalam diri, ia menjadi satu keseronokan pula.

“Pun begitu, bekerja dengan pengarah Seth Gordon adalah pengalaman yang hebat,” katanya.

Bakal ditayangkan bermula 2 Mei ini di pawagam seluruh Malaysia, filem ini turut dibarisi pelakon terkenal Hollywood seperti Jason Bateman, Melissa McCarthy, Jon Favreau, Tip T.I  Harris, Genesis Rodriguez, Morris Chestnut, John Cho, Robert Patrick dan Eric Stonestreet.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails