Saturday, April 6, 2013

Memilih Watak Untuk Nampak Mencabar

Intan Ladyana


Memilih Watak Untuk Nampak Mencabar


Pelakon Intan Ladyana, 30, mengakui lebih memilih terhadap tawaran-tawaran watak yang diberikan kepadanya dalam sesebuah drama atau filem.

Kata pelakon yang sudah sembilan tahun bergelar anak seni ini, dia mahu penonton melihat perkembangan bakat lakonannya melalui pelbagai karakter yang dibawa.

“Saya pilih watak yang ditawarkan, kalau boleh saya tidak mahu watak yang sama sahaja dan tidak mencabar.

“Saya tidak mahu peminat melihat saya dengan watak yang sama, tentu tidak bagus untuk perkembangan kerjaya saya,” katanya.

Tambah Intan, dia lebih gemar membawa watak yang serius berbanding watak komedi yang sering dilakonkannya.

“Kalau boleh memang saya mahu watak-watak yang serius terutamanya jika filem seram biarlah seram yang serius berbanding komedi.

“Sebagai pelakon sudah tentu kita inginkan watak-watak berat dan mencabar, namun kita juga sedar tidak banyak filem-filem seperti yang kita inginkan itu diterbitkan,” katanya.

Dalam pada itu, Intan yang terlibat dalam persembahan Teater Muzikal Destini Anak Bangsa pada Januari lalu mengakui mula meminati cabang seni tersebut.

“Kepuasan terhadap berlakon teater memang lain berbanding berlakon di drama dan filem, saya akui saya mula rasa minat terhadap persembahan teater.

“Kalau boleh saya mahu diberi peluang untuk beraksi di pentas teater lagi,” katanya.

Dalam pada itu, bercerita tentang filem Kecoh! Hantu Raya Tok Chai, Intan yang pertama kali memegang watak sebagai anggota polis mengakui ia memberi satu pengalaman yang berlainan.

“Ini merupakan pertama kali saya diberi watak anggota polis dan cabaran utama adalah dari segi pemakaian seragam yang tidak boleh diambil mudah.

“Namun Alhamdulillah, sepanjang penggambaran memang ada pegawai polis yang hadir dan beri bimbingan kepada kami semua,” katanya.

Filem genre komedi seram ini mengisahkan seorang penduduk kampung bernama Tok Chai yang membela makhluk halus iaitu Hantu Raya.

Kehidupan orang kampung berubah selepas Hantu Raya milik Tok Chai mengganggu dan mencari tuan baru selepas kematian Tok Chai.

Antara barisan artis yang turut membintangi filem ini adalah Saiful Apek, Bokhari, Sathia dan Allahyarham Kuswadinata.

Kecoh! Hantu Raya Tok Chai akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 18 April ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails