Sunday, April 14, 2013

Misha Cari Masa Buat Persiapan Kahwin

Misha


Misha Cari Masa Buat Persiapan Kahwin


Apabila penyanyi ini menangguhkan majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada September ini, ramai yang membuat spekulasi bahawa Misha Omar, 31, dan tunangnya Firos Ezzwan Rossly, 31, mengalami masalah dalam perhubungan mereka.

Meskipun sudah beberapa kali Misha menjelaskan tentang penangguhan itu, namun peminat pelantun lagu ‘Bunga Bunga Cinta’ ini tidak sabar melihat Misha bersanding di pelaminan.

“InsyaAllah majlis itu akan berlangsung pada tahun hadapan. Saya akan mencari masa yang sesuai untuk membuat persiapan majlis perkahwinan itu nanti”, kata Misha ketika ditemui di majlis sidang media teater ‘Nyonya and The Gang’, pada Khamis.

Tambah Misha, dia akan memberi sepenuh komitmen untuk persiapan majlis perkahwinan itu agar ia berjalan dengan lancar.

“Saya merupakan seorang yang fokus pada satu-satu perkara agar tidak bercelaru. Buat masa ini jadual aktiviti seni saya begitu padat sehingga hujung tahun. Tunang saya juga belum selesai kursusnya. Apabila waktu itu sampai, saya akan berehat sementara daripada aktiviti seni dan beri sepenuh tumpuan pada persiapan perkahwinan”, ujar Misha.

“Mungkin sebab nak kahwin, tuhan bagi rezeki macam ini. Sebab itu kami berdua sibuk dan banyak kerja”, tambahnya.

Berbicara mengenai penglibatannya dalam teater ‘Nyonya and The Gang’, Misha akui dia ‘terperangkap’ dengan tawaran daripada pengarah Siti Rohayah Attan.

“Apabila Kak Roy (Siti Rohayah Attan) tanya saya mahu terlibat dengan projek ‘Nyonya and The Gang’ ini, tanpa berfikir panjang, saya terus setuju. Tapi bila diberitahu teater ini akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, saya mula rasa bimbang dan tidak mampu menarik balik kata-kata saya”, kata Misha.

Misha turut berkongsi bahawa cabaran terbesar baginya menjayakan teater ini adalah pentas Panggung Sari yang begitu besar dan berprestij.

“Pentas Panggung Sari ini besar, tetapi pelakon cuma ada enam orang. Jadi saya bimbang bagaimana enam orang pelakon ini mampu mengisi ruang pentas Panggung Sari itu nanti. Tapi saya percaya, pengarah lebih tahu mengatasi hal itu”, jelas Misha.

Bakal membawa watak salah seorang keponakan (anak saudara) Nyonya, ini bukan pertama kali Misha terlibat dengan teater hasil penulisan karyawan Indonesia, Wisnan Hadi. Pada tahun 2011, Misha pernah membawa watak yang sama untuk teater ‘Mak Dara Nyonya’ yang dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC). – gua.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails