Wednesday, April 3, 2013

Shaheizy Sam hilang populariti?



Shaheizy Sam
Shaheizy Sam - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI

Shaheizy Sam
Shaheizy Sam dalam filem Kongsi

SUATU ketika wajahnya sentiasa menghiasi layar skrin dan layar perak sehingga dia diangkat sebagai Pelakon Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular (2010).

Namun populariti yang giat berkembang tidak memaksa Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24 ini memilih atau 'demand' dengan tawaran yang diterima.

Sebaliknya dia tidak pernah berkira dan menerima apa sahaja tawaran yang datang kepadanya.

Sehinggakan dia pernah di cop 'tangkap muat' dan dikritik hebat gara-gara penampilannya dalam filem yang sekadar melepaskan batuk di tangga.

Bagaimanapun, dalam kerancakan kariernya, nama figura yang sentiasa meniti di bibir peminat filem ini tiba-tiba pudar.

Mungkinkah figura seni bernama Shaheizy Sam ini hilang sengat dan popularitinya?

Mengakui dahulu tidak kisah dengan peranan atau skrip yang diterima, figura seni bernama Shaheizy Sam ini menjelaskan, kini, dia kembali dalam industri dengan 'buku baru'.

"Benar, sebelum ini saya ambil tawaran yang datang tanpa memikirkan apa-apa, sebaliknya, sekadar untuk mengukuhkan kewangan.

"Tetapi kini saya sedar, sudah tiba masanya saya berubah demi menjaga momentum kerjaya saya.

"Lagipun, jika tidak selektif, penonton akan berasa bosan, pastinya ini memberi kesan tidak baik kepada saya juga," katanya ketika ditemui pada majlis Raikan Cinta anjuran TV3 baru-baru ini.

Dalam pada itu, diaju pertanyaan, mengapa dia menghilang tiba-tiba, ujar pelakon yang lebih mesra disapa Sam ini, dia tidak ke mana-mana, sebaliknya hanya mengambil cuti sahaja.

"Sebenarnya saya mengambil cuti selama sembilan bulan, sebelum ini saya sudah terlalu sibuk. Lagipun tawaran yang datang saya ambil tanpa berfikir panjang, ia agak memenatkan saya lebih-lebih lagi saya juga perlu ruang untuk memikirkan masa depan yang lebih
serius," katanya akan memilih tawaran yang datang selepas ini bagi memantapkan profil kariernya.

Rindu berlakon drama

Sementara itu, berkongsi mengenai penampilan menerusi drama terbarunya Kisah Cinta, Sam memberitahu, pada awalnya dia gementar kerana sudah empat tahun dia tidak tampil dengan drama bersiri.

Bagaimanapun, atas dasar 'rindu', dia mengambil keputusan untuk kembali dan menerima tawaran tersebut.

"Agak sukar berlakon drama bersiri kerana ia memerlukan masa lebih panjang, tetapi saya sebenarnya sangat rindu dengan pengalaman bekerja sebegini.

"Lagipun berlakon drama bersiri dan filem sangat berbeza yang mana ia lebih panjang dan memberi kepuasan kepada saya dalam aspek penghayatan watak dan sebagainya," katanya yang muncul dalam drama bersiri terakhir berjudul Asmaradana.

Mengulas lanjut mengenai drama itu pula, kata Sam, dia memilih untuk bersama dalam Kisah Cinta kerana ia sebuah drama yang sangat 'sweet'.

"Drama ini mengisahkan perjalanan seorang lelaki yang biasa, tetapi ia ada keistimewaan tersendiri.

"Nak tahu macam mana saya dalam drama ini, kenalah tengok nanti," ujar pelakon berusia 31 tahun ini.

Tertarik dengan Fazura?

Dalam pada itu, menerusi Kisah Cinta, Sam turut bergandingan dengan aktres dan model cantik, Nur Fazura.

Menariknya, meskipun masing-masing sudah lama terjebak dalam industri ini, namun ia merupakan kali pertama mereka bekerjasama.

Berbicara mengenai bintang filem Pisau Cukur itu, akui Sam, Fazura membuatkan dia berasa senang.

"Satu perkataan untuknya, dia sangat 'senang' dan saya selesa bersamanya. Memang saya teruja berlakon dengannya. Lagipun bukan mudah berdampingan dengan Fazura, apa yang penting kami sama-sama bekerja keras demi drama ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai gaya kerja Fazura pula, terang Sam, Fazura adalah pelakon yang profesional.

"Selain profesional, dia juga memberi pengalaman baru kepada saya dalam bekerja," katanya memuji cara pengarah Bahri Umar yang menekankan gaya penceritaan santai dalam drama 13 episod ini.

Selain Sam dan Fazura, Kisah Cinta yang mengisi slot Lestary bermula 9 April depan pada setiap Selasa jam 9 malam ini turut dijayakan oleh Nazim Othman, Fazlina Ahmad Daud dan Nadia Aqilah.

Lancar single

Selain muncul dengan Kisah Cinta, jejaka yang digosipkan bersama pelakon Tilla Melvin ini juga bakal melancarkan single terbarunya yang berjudul Bicara Hati.

Menurutnya, single tersebut bakal diterbitkan hujung tahun ini jika tiada sebarang masalah.

"Saya akan menyanyi semula bersama kumpulan saya iaitu M.O.B dan ini adalah percubaan pertama kami.

"Sebenarnya, banyak lagu sudah kami hasilkan, cuma mencari masa yang sesuai untuk dilancarkan sahaja," katanya memfokuskan konsep R&B dan Bone Thugs.

Ditanya adakah dia akan mengeluarkan album selepas ini, kata Sam, dia lebih selesa mengeluarkan single terlebih dahulu.

"Akan ada banyak single yang akan dilancarkan nanti, tunggu sahaja," katanya mengakui muzik yang dibawa kali ini lebih matang.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails