Monday, April 15, 2013

'Saya Tak Kisah Jika Jawatan Presiden Dirampas' - Aziz Sattar


Aziz Sattar

KUALA LUMPUR: Pelakon Datuk Aziz Sattar kecewa apabila ada pihak yang mempertikaikan perlantikannya sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV) dan tidak kisah sekiranya ada yang mahu merampas jawatannya itu.

Aziz yang sebelum ini merupakan timbalannya berkata, jawatan yang dipegang itu berubah sejurus selepas presidennya, Datuk Ismail Hutson meninggal dunia pada Julai lalu dan dia difahamkan ada sebilangan ahli tidak berpuas hati apabila dirinya dilantik terus sebagai ketua persatuan tersebut.

"Apa yang saya lakukan sekarang ini (sebagai Presiden PKAV), saya buat dengan ikhlas. Ini semua adalah kerja sambilan tanpa meminta dibayar.

"Jika ada yang ingin mengambil alih, ambillah. Saya tidak kisah jika jawatan presiden ini dirampas. Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan.

"Saya tahu, ada yang keluar daripada komuniti ini kerana tidak berpuas hati dengan perlantikan saya serta kerana menunda tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke Oktober depan dimana ia sepatutnya berlangsung pada Mac lalu," katanya.

Aziz ditemui pada sidang media Ziarah Syukur Ke Kedah anjuran PKAV di restoran Riverside, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

Tambah pelakon itu, sepanjang bergelar presiden PKAV, dia sedaya upaya cuba menambah dana persatuan berkenaan agar dapat membantu mana-mana artis yang memerlukan, tetapi tidak sangka dirinya tidak disukai sesetengah pihak.

Sementara itu, mengenai program Ziarah Syukur Ke Kedah, seramai 10 artis veteran akan terlibat membantu kerajaan Barisan Nasional berkempen sempena dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei depan.

Antara artis-artis yang terlibat ialah Aziz Sattar, Datuk Mustafa Maarof, Norliah Ghani, Shira, Aznah Hamid, AR badul, Kismah johar dan Hail Amir.

Mereka akan membantu pihak kerajaan berkempen di empat lokasi di negeri Kedah iaitu Kuala Nerang, Kulim, Alor Merah dan Pendang bermula dari tarikh 23 hingga 27 April ini.

"Kami akan membuat beberapa aktiviti bersama penduduk kampung di sana termasuklah menjayakan forum Bicara Seni dan menziarahi beberapa rumah kebajikan di sana.

"Sebagai seorang rakyat yang pernah melalui sejarah-sejarah negara ketika susah, saya mahu para penduduk menghayati dan bersyukur dengan apa yang kita sudah ada sekarang ini, selain melihatkan pelbagai pembangunan negara yang dijalankan oleh pihak kerajaan demi keselesaan rakyat.

"Mungkin kehadiran kami akan disambut baik, tetapi kami juga bersedia mengambil risiko sekiranya ada pihak yang mahu kami beredar. Insya-Allah segala perancangan akan berjalan dengan lancar," ujarnya.

Program Ziarah Syukur Ke Kedah turut dianjurkan bersama oleh Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails