Sunday, May 12, 2013

Aeril Zafrel - Jangan Campur Urusan Saya Dengan Allah

Aeril Zafrel


Jangan Campur Urusan Saya Dengan Allah


Ekoran kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MiG, Mejar David Teo yang mendakwa pelakon Aeril Zafrel menipu dirinya dengan mengatakan mahu belajar serta mendalami agama, Aeril tampil memberikan penjelasan di atas segala kemelut yang menimpanya baru-baru ini.

“Saya buat keputusan untuk keluar MiG sebab saya nak berhenti berlakon. Pada waktu itu saya sakit terkena buatan orang. Kerana ilmu hitam itu jugalah ibu bapa saya meninggal dunia. Apabila saya pergi berubat, sedikit demi sedikit saya belajar tentang agama. Sama ada memang saya belajar agama atau tidak, itu urusan saya dengan Allah. Saya harap dia tidak mencampuri urusan agama saya atau sesiapa sahaja,” katanya yang dipetik melalui portal Gua.com.my

Teo menyelar tindakan Aeril yang dilihat seperti sengaja meninggalkan syarikat pengurusannya demi meneruskan impiannya ke Hollywood selepas Aeril dilihat membintangi filem luar yang turut menyaksikan dirinya bergandingan dengan pelakon wanita terkenal Amerika, Christina Ricci.

Mengulas lanjut mengenai tindakan Teo itu, Aeril menjelaskan ketika membuat keputusan untuk keluar dari MiG, dia telah menyerahkan surat rasmi kepada Teo.

“Saya ada bagi surat mengatakan saya ingin keluar daripada MiG. Tapi sampai hari ini, mereka masih tidak memberi sebarang respon. Jadi saya menganggap mereka bersetuju melepaskan saya. Tiba-tiba setelah setahun timbul pula isu begini. Saya tak mahu orang mengganggap saya menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri. Saya tak mahu kerana saya, orang pandang rendah pada agama saya,” luahnya.

Walaupun namanya kini dikaitkan dengan kontroversi sebegini, Aeril memaklumkan rezekinya dalam bidang lakonan semakin bertambah dari hari ke sehari.

“Alhamdulillah, setelah sihat dan berhijrah, rezeki saya semakin murah. Lagipun, saya kembali berlakon kerana mendapat semangat dari sahabat handai dan setelah sembuh sepenuhnya. Biarlah dia nak kata apa tentang saya. Saya tak akan terasa kerana hal itu tak betul. Saya juga tak perlu memburuk-burukkan dia,” jelasnya panjang lebar.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails