Monday, May 13, 2013

Astro First membantu atau ‘menjahanamkan’ industri?



Astro First
Astro First

Khairul Anwar Salleh
Khairul Anwar Salleh

KEMUNCULAN perkhidmatan Astro First yang diperkenalkan stesen televisyen swasta, Astro bermula 11 Januari 2011 lalu memberi pelbagai reaksi dalam kalangan penggiat seni tempatan.

Tampil sebagai platform yang bermatlamat membantu penggiat seni terutamanya golongan penerbit untuk meraih keuntungan, selain pungutan di pawagam, Astro First dilihat mampu menampung kerugian filem yang kurang mendapat sambutan di panggung.

Malah, kalangan penggiat seni juga menganggap Astro First lebih kurang sama dengan tayangan di pawagam walaupun menggunakan medium berbeza.

Pun begitu, bukan semua penggiat seni menyambut baik perkhidmatan Astro First kerana ada yang beranggapan, sistem ini memberi galakan kepada penonton untuk tidak ke panggung dan hanya menunggu siaran Astro First sahaja.

Dengan cara ini, matlamat untuk merakyatkan pawagam dan usaha untuk menarik masyarakat menonton akan terkubur sedikit demi sedikit.

Namun, sejauh manakah perkhidmatan ini mampu menyelamatkan industri sekali gus memberi pulangan kepada penggiat seni tempatan?

Ikuti temubual Zass bersama Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan perkhidmatan Astro First.

Sejak Astro First diperkenalkan, bagaimanakah sambutan  pelanggan atau penonton?

Alhamdulillah, setakat ini, sambutan sangat baik dan memberangsangkan. Malah ia juga turut menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dan filem yang meletup di pawagam menyaksikan pembelian dengan kadar yang tinggi di Astro First. Setakat ini, filem box-office, Ombak Rindu masih berada di tangga teratas paling tinggi pembelian. Statistik pada tahun lalu menunjukkan kejayaan besar apabila platform ini berjaya mengumpulkan 2.9 juta pembelian. Namun, pada tahun ini saya berharap agar  nilai itu bertambah dari masa ke semasa.

Adakah setiap filem yang ditayangkan di Astro Fisrt berjaya menarik minat penonton?

Kejayaan setiap filem itu bergantung kepada penonton. Namun, apa yang saya perhatikan, jika filem itu mendapat sambutan hangat di pawagam, ia turut berjaya menarik minat penonton di televisyen. Semuanya bergantung kepada karya itu sendiri. Namun, dengan adanya Astro First, ia dapat membantu filem yang gagal di panggung dengan meraih kutipan tambahan melalui Astro First. Kami tidak ‘pilih kasih’ dalam penayangan filem kerana tidak kira filem itu berjaya atau tidak, kami tetap akan memenuhi permintaan pihak penerbitan. Namun, ia bergantung kepada kapasiti juga kerana setiap minggu ada dua filem tempatan yang ditayangkan. Setakat ini, kami masih lagi belum menolak mana-mana karya untuk dibawa ke Astro Fisrt.

Bagaimana pula dengan penerimaan penggiat seni dan penerbit filem dalam perkhidmatan Astro First?

Setakat ini, kebanyakan penggiat seni menyokong usaha kami dalam membantu mereka dan secara keseluruhan, kami mendapat 100 peratus penglibatan. Namun, kami tidak menafikan, ada di antara penggiat seni yang masih belum bersedia menerima platform ini dan karya mereka tidak diberikan kepada penayangan Astro First. Kami tidak memaksa mereka untuk memberikan hak itu kepada kami, ia terpulang kepada pendirian masing-masing.

Ada dakwaan liar daripada penerbit dan penggiat seni mengatakan Astro First mampu mengganggu tayangan sesebuah filem di pawagam? Apa pandangan anda mengenai perkara ini?

Saya tidak rasa ianya mampu mengganggu tayangan di panggung kerana Astro First akan mendapat hak penayangan selepas filem itu tamat ditayangkan di pawagam. Lagipun, dengan cara ini ia dapat memberikan pulangan kepada penggiat seni dan tidak hanya bergantung kepada kutipan tiket semata-mata. Hasil keuntungan yang diperolehi akan diagih kepada penggiat seni dengan nilai yang tertentu. Tiada istilah mengaut keuntungan atau mengambil kesempatan kepada penggiat seni kerana konsep ini bukanlah merugikan mereka. Dari segi kadar pembahagian 60 peratus Astro First dan 40 peratus kepada penggiat seni, ia tidak menjadi masalah kerana cara itu juga turut digunakan pihak panggung untuk sesebuah tayangan filem. Pembahagian itu bergantung kepada kos yang ditanggung pihak panggung dan begitu juga dengan Astro First. Kami menggunakan kos itu untuk pelbagai tujuan termasuk promosi dan iklan.

Apa kelebihan dan kebaikan yang diperolehi dengan adanya Astro First?

Astro First merupakan platform baru yang diperkenalkan kepada penggiat seni dengan tujuan membantu. Bukan sahaja memberi pulangan selain daripada pungutan di panggung, malah ia turut membantu penggiat seni memerangi jenayah cetak rompak cakera padat (VCD). Dengan adanya Astro First, penjualan VCD haram tidak mampu beroperasi ligat lagi kerana penggiat seni mula memperoleh sumber kewangan baru. Kebiasaannya, golongan muda lebih tertarik untuk ke panggung manakala bagi mereka yang berkeluarga dan memiliki keluarga yang besar, mereka kurang berminat untuk ke sana. Dengan adanya Astro First, golongan ini juga boleh menikmati filem kegemaran di rumah bersama keluarga.

Apakah harapan anda dalam memastikan Astro First terus dengan matlamat membantu penggiat seni tempatan?

Saya amat berpuas hati dengan penerimaan penggiat seni dalam perkhidmatan kaedah moden ini untuk membantu mereka. Bagi mereka yang tidak menyokong, kami tidak memaksa mereka. Namun, apa yang pasti, kejayaan Astro First bergantung kepada industri. Jika industri jatuh, Astro First pun turut mengalami kejatuhan itu. Saya juga berharap agar golongan pengkarya lebih produktif dalam menghasilkan karya-karya yang lebih baik dan bermutu untuk industri kita.

Memudahkan cetak rompak: Ahmad Idham

Menurut pengarah dan penerbit, Excelent Pictures Sdn Bhd, Ahmad Idham, kehadiran Astro First lebih mendidik penonton untuk menonton di rumah.

Katanya, walaupun Astro First dilihat mampu membantu penggiat seni, namun sistem dan pemantauan perlu diperhalusi lebih lanjut lagi.

“Saya tidak kata yang pelaksanaannya tidak berjaya. Namun, kelemahan yang ada perlu diperbaiki lagi.

“Sehingga ke hari ini, jenayah cetak rompak masih berleluasa, malah semakin meruncing. Kalau dulu cetak rompak fizikal, sekarang medium yang ada lagi mudah.

“Mereka mampu mendapatkan karya itu dengan mudah melalui laman sosial setelah ianya ditayangkan di Astro First.

“Malah, penggiat seni juga tidak mampu memperoleh pendapatan sampingan melalui penjualan VCD,” katanya yang tidak berniat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak.

Tak rugi pun!: Datuk Yusof Haslam

Memandang dari sudut positif, penerbit dan juga pemilik Skop Production, Datuk Yusof Haslam menganggap Astro First merupakan medium baru yang banyak membantu. Malah tak rugi sekiranya penerbit ‘menjual’ filem mereka menerusi medium ini.

Menurut beliau, kehadiran Astro First mampu menjana pendapatan sampingan kepada penerbit untuk sesebuah karya.

“Sebelum ini, kita berhadapan dengan masalah cetak rompak yang terang-terangan merugikan kita sebagai pengkarya.

“Bila Astro First diperkenalkan, walaupun ia tidak boleh membunuh gejala ini, namun ia menunjukkan kadar pengurangan.

“Konsep Astro First pun lebih kurang sama dengan panggung kerana kita masih boleh mengaut keuntungan sepanjang tempoh tayangan,” katanya yang menganggap keuntungan Astro First bergantung kepada sesebuah karya.

Masih boleh untung: Mejar David Teo

Menyokong penuh pelaksanaan Astro First, Penerbit Metrowealth International Group (MIG), Mejar K David Teo, menganggap tindakan Astro memenuhi permintaan penggiat seni tempatan.

Menurutnya, sepanjang dua tahun menggunakan khidmat Astro First, beliau tidak pernah mengalami sebarang masalah mahupun kerugian.

“MIG adalah produksi yang produktif dalam menghasilkan karya. Namun, tidak semua karya yang dihasilkan mampu mengutip keuntungan berlipat ganda di pawagam.

“Dengan adanya Astro First, kami dapat menikmati pulangan yang lebih dan tidak bergantung kepada kutipan di pawagam dan penjualan VCD semata-mata.

“Malah, ada beberapa filem terbitan MIG kurang mendapat sambutan di pawagam, namun bila dibawa ke Astro First, kutipan yang diterima melebihi di pawagam,” katanya yang berpuas hati dengan konsep dan pembahagian ditetapkan.

Hanya tumpang semangkuk: Othman Hafsham

Bagi pengarah dan penerbit terkenal, Othman Hafsham, konsep yang diperkenalkan Astro First tidak ubah seperti menangguk di air keruh.

Katanya, walaupun secara rasional mereka berniat untuk membantu, namun pembahagian yang ditetapkan lebih menguntungkan pihak Astro.

“Niat asal untuk membantu dan mengurangkan jenayah cetak rompak, namun sehingga kini cetak rompak masih ada.

“Saya sendiri tak pasti adakah mereka telus untuk membantu ataupun hanya tumpang semangkuk.

“Lagipun, mereka mengenakan pembahagian yang tidak adil sedangkan mereka tidak mengeluarkan satu sen pun modal untuk karya itu.

“Saya hanya akan menyokong sekiranya mereka turut melaburkan sebahagian kos untuk bekerjasama,” katanya yang menganggap televisyen sebagai musuh utama penggiat seni.

 

sumber : sinarharianonline


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails