Sunday, May 12, 2013

Fouziah Gous nafi rampas kekasih Ramona



Fouziah Gous dan Zhafran Yusof
Fouziah Gous dan Zhafran Yusof

Sebelum ini, Fouziah atau nama sebenarnya Nor Fouziah Mohd Gous, 31, dikatakan pernah menjalinkan hubungan cinta bersama golongan VVIP. Malah, pelakon dan pengacara, Iqram Dinzly turut dikaitkan dalam kancah cinta Fouziah.

Namun, baru-baru ini, Fouziah telah memuat naik gambar kekasihnya, Zhafran Yusof, 30, sekali gus mengundang kontroversi hebat apabila lelaki itu dikaitkan dengan pelakon Ramona Zam Zam.

Tidak kurang juga yang menganggap Fouziah menjadi orang ketiga antara Zhaf dan Ramona sehingga cinta itu mula beralih arah. Tidak cepat melatah dengan dakwaan liar itu, Fouziah bagaimanapun enggan mengambil pusing mengenai perkara itu dan tidak mahu perkara ini menjadi topik hangat.

"Saya malas nak cakap banyak mengenai perkara ini kerana kami tahu apa yang berlaku di sebaliknya. Tiada istilah rampas-merampas.

"Ketika saya mengenali Zhaf, dia bukanlah milik sesiapa dan kami bukanlah terlalu fanatik bina hubungan kerana saya bukan jenis gemar mencari pasangan.

"Tidak perlulah perkara ini digembargemburkan lagi sehingga merumitkan keadaan. Saya tidak mahu berkelakuan seperti budak-budak dan tidak matang," katanya yang mengakui tidak pernah menghadapi kes seumpama ini.

Rasa tertekan?

Tidak menganggap kontroversi yang berlaku boleh menjejaskan hubungannya bersama kekasih, Fouziah memberitahu, perkara itu tidak membebankan fikirannya. Malah, baginya, apa sahaja perkara yang bakal berlaku selepas ini hanyalah seperti angin lalu yang menampar pipi.

"Saya tidak menyesal kerana memperkenalkan calon suami. Baik saya mahupun Zhaf, kami tidak rasa tertekan langsung. Malah, saya bersyukur kerana hubungan ini semakin menunjukkan perkembangan ke fasa lebih baik.

"Lagipun, hubungan ini melalui beberapa peringkat perkenalan, berkawan dan teman rapat. Saya mengenali Zhaf atas tiket rakan perniagaan dan hubungan ini berputik tanpa kami sedari. Lagipun, saya bukan jenis yang suka sorok hubungan. Kalau ada, saya akan beritahu dan jika perkara itu tidak betul, saya nafi kan," katanya yang sudah sedia bergelar isteri.

Kahwin secepat mungkin

Walaupun usia perkenalan itu masih baru, namun Fouziah tidak mahu terlalu lama menunggu untuk disatukan.

Menurutnya, jika diizinkan ALLAH SWT, mereka mahu melangsungkan majlis perkahwinan secepat mungkin.

"Sebenarnya, saya lebih suka bercinta selepas kahwin untuk mengelakkan perkara yang ditegah. Lagipun, tak manis bila kita ke hulu ke hilir tanpa ikatan yang sah.

"Insya-ALLAH, kami merancang untuk berkahwin pada tahun ini. Namun, sehingga kini masih tiada tarikh yang ditetapkan kerana saya masih sibuk di set penggambaran.

"Mungkin selepas habis penggambaran, saya akan tumpukan pada perancangan itu. Namun, perihal majlis, saya masih belum terfikir untuk bertunang dahulu ataupun terus nikah," katanya yang mengakui Zhaf tidak pernah melarang untuk terus berkecimpung dalam industri setelah berkahwin.

Bertanya mengenai kriteria yang ada pada Zhaf membuatkan hatinya tertarik, Fouziah memberitahu, Zhaf seorang yang memahami dan menghormati pendiriannya.

"Sepanjang proses perkenalan kami, dia (Zhaf) sangat profesional dalam kerja dan menghormati saya. Malah, dia amat memahami kehendak saya dan melayan saya dengan cukup baik. Saya dapat rasakan keikhlasannya. Lagipun, dia bukan di kalangan selebriti dan semasa bersamanya, saya tidak rasa saya artis," katanya yang merancang usahakan perniagaan sarang burung bersama selepas kahwin.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails