Wednesday, May 8, 2013

Herman Tino tak serik bertanding!



Herman Tino tak serik bertanding!
Herman Tino tak serik bertanding

Herman Tino tak serik bertanding!
Herman Tino teruskan perjuangan manifesto Parti Bungan Raya.

SAYA redha dengan kekalahan Parti Bunga Raya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini. Tapi kekalahan tersebut bukanlah penghalang buat saya untuk terus berjuang pada PRU akan datang.”

Itulah kata semangat yang dinyatakan oleh penyanyi veteran, Herman Tino yang bertanding untuk PRU13 bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang, Selangor.

Walaupun hanya berjaya meraih sebanyak 340 undi, namun penyanyi ini tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangan manifesto partinya itu.

“Apa yang penting, kehadiran saya untuk bertanding adalah di landasan yang betul dan tidak menyalahi undang-undang.

“Apa berlaku biarlah ianya berlalu. Saya terima kekalahan ini tanpa menyimpan sebarang dendam kepada mana-mana pihak,” katanya kepada Zass.

Tambah Herman lagi, penglibatannya dalam PRU13 ini adalah semata-mata untuk menyeru kepada masyarakat supaya berpolitik dalam keadaan yang aman damai.

“Sebagai seorang penyanyi, saya tidak mampu bersuara dan sebab itulah saya cuba untuk melibatkan diri dalam bidang ini untuk menyampaikan hasrat ini, bukannya untuk kepentingan diri sendiri.

“Meskipun tewas tapi saya akan cuba lakukan sesuatu untuk merealisasikan manifesto Parti Bunga Raya,” tegasnya yang tak serik untuk bertanding lagi pada PRU akan datang.

Kekangan masa dan jentera

Mengulas lanjut mengenai keputusan PRU13 kelmarin, Herman bagaimanapun akui kekangan masa dan jentera yang tidak ramai mungkin antara faktor beliau tidak berjaya meraih undian yang banyak.

“Apa yang berlaku semuanya tidak dirancang dan kami hanya memiliki masa dua minggu untuk berkempen.

“Tambahan pula kami hanya dibantu seramai 20 orang jentera sahaja sedangnya parti yang lain yang turut bertanding telah bersedia bertahun-tahun dan memiliki jentera yang ramai.

“Saya tidak menolak kemungkinan kekurangan tersebut adalah faktor kami tewas. Tapi saya agak pelik dengan jumlah undian yang terlalu sedikit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Herman juga sempat menyampaikan pesanan buat masyarakat Tanjung Karang supaya menerima kekalahannya pada PRU13 kelmarin.

“Selain daripada kerepek dan ikan masin, Herman Tino juga merupakan produk Tanjung Karang yang boleh dijual.

“Saya amat mengharapkan warga Tanjung Karang dapat menerima kekalahan saya.

“Buat parti yang berjaya, saya ucapkan tahniah kepada mereka dan pesan saya, janganlah hanya tumpukan pembangunan yang pesat tanpa menitik beratkan keharmonian dan kedamaian masyarakat,” katanya.

Herman tumpas di tangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. Penyanyi yang bertanding untuk Parlimen Tanjung Karang ini hanya meraih 340 undi berbanding calon BN (20,548 undi) dan Pas (16,154).


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails