Wednesday, May 8, 2013

Judika terkejut sambutan peminat Malaysia luar biasa



Judika
Judika

Tak pernahkah kau sadari akulah yang kau sakiti,
Engkau pergi dengan janjimu yang telah kau ingkari,
Oh Tuhan tolonglah aku hapuskan rasa cintaku,
Aku pun ingin bahagia walau tak bersama dia...


MELIHAT sahaja rangkap lagu ini, pasti semua mengenali penyanyi bersuara merdu dari Indonesia, Judika yang kini semakin mendapat perhatian pendengar di Malaysia.

Tidak dinafikan, sambutan luar biasa diterima menerusi single, Aku Yang Tersakiti yang diselitkan dalam album keduanya, Setengah Mati Merindu sedikit sebanyak memberi impak positif kepada karier nyanyiannya di negara ini.

Terbaru, sempena mempromosikan album tersebut, Judika sempat mengadakan showcase di Hotel Royal, Kuala Lumpur khas buat peminatnya di Malaysia dan sambutannya begitu menggalakkan.

"Saya sendiri tidak sangka memiliki peminat di sini. Secara jujurnya saya agak terkejut dan bangga dengan sambutan lagu-lagu saya di sini," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai album keduanya itu, Judika memberitahu, album tersebut mengandungi sebanyak 10 buah lagu, di mana tiga lagu daripadanya adalah ciptaannya sendiri.

"Aku Yang Tersakiti, Ku Tak Mampu dan Andai adalah lagu ciptaan saya sendiri dan inilah album pertama yang menonjolkan kemampuan saya sebagai komposer.

"Saya bersyukur kerana lagu Aku Yang Tersakiti diterima baik masyarakat di sini dan itu adalah penghargaan yang besar buat saya," ujarnya.

Tambah Judika lagi, dia bakal tampil dengan album ketiga, Sampai Akhir dan dijangka akan dilancarkan di Indonesia pada 15 Mei ini.

"Dalam album ini juga saya ada menyumbangkan empat buah lagu, di mana ia menceritakan kisah kehidupan saya dan mengharapkan peminat akan menyukainya," jelasnya.

Kisah cinta terlarang

Menyentuh mengenai hal peribadinya, Judika memberitahu dia kini hampir selesai membuat persiapan perkahwinannya bersama Puteri Indonesia 2007, Duma Riris Silalahi yang dijangka akan berlangsung pada 31 Ogos ini yang juga merupakan tarikh kelahirannya.

"Kami telah bercinta sejak lima tahun yang lalu dan apa yang saya boleh katakan, kisah percintaan kami tidak mudah kerana banyak cabaran terpaksa dilalui memandangkan keluarganya tidak merestui hubungan kami.

"Namun setelah membuktikan kemampuan saya, akhirnya hubungan kami direstui dan kisah ini juga saya akan kongsikan bersama peminat menerusi lagu ciptaan saya, Mama Papa Larang yang akan diselitkan dalam album yang akan keluar Mei ini," katanya.

Tambah Judika, dia tidak merasakan perkahwinan bakal menjatuhkan nama dan popularitinya sebagai seorang penyanyi malah memandang positif terhadap perkara itu.

"Sememangnya saya tidak percaya perkara seumpama itu akan berlaku. Jika ia berlaku pun bukanlah disebabkan perkahwinan saya nanti kerana naik turun seseorang penyanyi adalah lumrah.

"Saya tidak mahu memikirkan soal itu. Apa yang penting saya mahu sentiasa mempertingkatkan prestasi sebagai penyanyi dan berikan yang terbaik untuk peminat," katanya.

Membesar dengan lagu Search

Berkongsi mengenai minatnya terhadap muzik dari Malaysia, Judika mengakui dirinya tidak asing dengan beberapa lagu daripada penyanyi tempatan.

Menurutnya, jika diberikan peluang dia berhasrat untuk mengadakan kolaborasi dengan kumpulan kegemarannya iaitu kumpulan rock terkenal tanah air, Search.

"Sejak dari bangku sekolah lagi saya sudah mendengar lagu-lagu mereka dan juga beberapa kumpulan lain. Antaranya seperti kumpulan Iklim dan Slam.

"Bapa saya pernah belikan saya album dari kumpulan Search. Ketika itu dalam bentuk kaset. Saya paling suka lagu Isabella.

"Kalau persembahan di Indonesia, saya sering juga menyanyikan lagu tersebut. Peminat juga ramai yang minat apabila saya nyanyikannya.

“Kalau diberi peluang, saya mahu sangat berduet dengan Amy, dan saya berharap hasrat ini akan tercapai satu hari nanti," katanya.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails