Wednesday, May 15, 2013

Pelakon Berhak Letak Harga – Tony Eusoff

Tony Eusoff


Pelakon Berhak Letak Harga – Tony Eusoff


PETALING JAYA – Pelakon Tony Eusoff menyifatkan seorang pelakon yang memiliki pengalaman yang luas di bidang itu berhak meletakkan harga mengikut kadar sesuai dalam sesebuah tawaran lakonan.

Malah Tony, 36, berkata, seseorang pelakon itu sepatutnya perlu menetapkan harga yang sesuai berdasarkan sumbangan dan mutu kerja mereka bagi menjayakan sesuatu produksi.

“Sebagai seorang pelakon, mereka berhak menetapkan harga mengikut kemampuan kerja yang dilakukan serta pengalaman lakonan yang dimiliki.

“Cara ini juga membuatkan pihak penerbit tidak senang-senang menggunakan tenaga kerja pelakon secara berlebihan.

“Tetapi pelakon yang meletakkan harga bayaran juga perlu bersiap sedia dengan risiko penarikan tawaran yang dibuat pihak penerbit,” katanya.

Bagaimanapun nasihat Tony, pelakon yang menetapkan harga tertentu juga tidak boleh mengambil kesempatan dengan sikap sambil lewa dalam kerja kerana ia bakal menjejaskan reputasi diri.

“Saya juga meletakkan harga mengikut sumbangan kerja yang dibuat.

“Tetapi kesungguhan hasil kerja juga mesti 100 peratus bagus agar pihak penerbit tidak berasa rugi dengan pembayaran yang diberikan.

“Percayalah, walaupun meletakkan harga tinggi, dengan hasil kerja lakonan memberangsangkan, mereka (pihak penerbit) tidak akan teragak-agak mahu menawarkan lakonan pada projek seterusnya pula,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Tony, penetapan harga bayaran lakonan dilakukan bukan kerana meletakkan dirinya sebagai pelakon eksklusif, seperti yang dianggap beberapa pihak.

“Saya tak rasa diri ini seorang pelakon eksklusif, tapi orang yang menganggap saya sebegitu.

“Lebih-lebih lagi apabila saya sering membawa watak lelaki korporat dan ‘urban’, tidak bermakna saya bersifat memilih watak kononnya mahu jaga reputasi. Itu silap.

“Kalau nak tahu saya teringin melakonkan watak-watak seperti orang kampung, nelayan atau pekebun mungkin, tetapi tiada siapa yang mahu memberi saya watak sedemikian,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, lakonan hebat Tony kini dapat disaksikan menerusi pementasan teater muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! yang dipentaskan bermula dari 10 hingga 26 Mei ini di Istana Budaya.

Ia merupakan sebuah teater muzikal yang mengangkat lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Selain Tony, pelakon Adibah Noor, Anding dan Nadia Aqilah turut membarisi teater tersebut. - mStar Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails