Tuesday, July 2, 2013

Lotter AF Rindu Mahu Menyanyi

Lotter AF


Lotter AF Rindu Mahu Menyanyi


PETALING JAYA – Penyampai radio Suria FM di Sabah iaitu Lotter tidak pernah melupakan bidang nyanyian walaupun kini sibuk dengan tugasnya sebagai deejay stesen radio itu sejak tiga tahun lalu.

Lotter, 31, yang kini lebih dikenali dengan nama Dudu di kalangan pendengar radio itu di Sabah berkata, dia sentiasa rindu untuk kembali menyanyi dan bertemu dengan peminatnya di Semenanjung Malaysia.

“Saya masih seorang penyanyi cuma kini tumpuan banyak diberikan kepada kerjaya sebagai deejay radio.

“Saya akui sentiasa rindu untuk kembali ke Semenanjung Malaysia untuk mengadakan persembahan dan bertemu peminat,” jelasnya yang ditemui di studio Suria FM Sabah di KK Times Square baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Lotter yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4) memberitahu, dia kini sedang menyiapkan single terbaharunya bersama kumpulan The Divine Masters.

Katanya, lagu berkenaan akan dilancarkan pada September depan dan berharap ia akan menaikkan semula namanya sebagai penyanyi.

“Sudah lama saya terlibat dalam proses rakaman lagu terbaharu ini tetapi tidak mahu terburu-buru menyiapkannya kerana ingin memberikan yang terbaik kepada peminat,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai tugasnya sebagai deejay, Lotter berkata, dia semakin selesa dengan tugas itu dan mengakui telah mempelajari banyak perkara sepanjang berkhidmat dengan Suria FM Sabah.

Tambahnya, walaupun sebelum ini tidak menyedari mempunyai bakat sebagai seorang penyampai radio namun dia bersyukur kerana mengambil keputusan untuk mencuba kerjaya dalam bidang tersebut.

“Saya sendiri tidak menyangka boleh menjadi seorang penyampai radio kerana tiada bakat namun saya berjaya mengatasi kelemahan diri dan semakin selesa dan menyukai kerjaya ini,” jelasnya.

Lotter mengendalikan segmen Sampaikan Sabah setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Suria FM Sabah bersiaran bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang dari hari Isnin sehingga Jumaat dan turut mempunyai dua lagi deejay iaitu Obie dan Ray.

Siaran untuk segmen negeri Sabah boleh didengari menerusi frekuensi 105.9 FM dan pendengar di Semenanjung Malaysia boleh melayari laman web www.suriafm.com.my untuk mengikutinya.

Pada waktu lain, siaran itu dikendalikan di studio Suria FM, Petaling Jaya, di sini. - mStar Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails