Showing posts with label laut tenang. Show all posts
Showing posts with label laut tenang. Show all posts
Thursday, October 20, 2011
Laut Tenang Terima Abu Al-Quran
Abu pembakaran puluhan ribu naskhah al-Quran seberat satu setengah tan yang dibuang ke laut berhampiran Pulau Sembilan di sini, pagi semalam, mempunyai warna kelabu walaupun dibakar yang dianggap pelik dan jauh berbeza berbanding kertas biasa yang menjadi hitam apabila dibakar.
Kejadian itu disaksikan lebih 30 ahli rombongan diketuai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika melakukan proses melupuskan abu al-Quran di sekitar perairan pulau berkenaan yang pertama kali dilakukan di kawasan laut dalam.
Abu al-Quran yang dibakar itu dikumpul Syarikat Percetakan Saufi di Batu 10, Jalan Cheras, Kajang, Selangor, sebelum dihantar ke dermaga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada jam 9.30 pagi semalam menggunakan van milik syarikat berkenaan.
Sebanyak 170 plastik hitam mengandungi abu itu dipindahkan ke kapal KM Marlin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum dibawa ke tengah laut kira-kira 8.2 batu nautika dari pangkalan TLDM.
Proses memindahkan abu al-Quran itu dilakukan dengan tertib apabila semua plastik seberat lapan kilogram setiap satu itu disusun teratur dengan bantuan anggota APMM.
Tugas membuang abu al-Quran itu seolah-olah dipermudahkan apabila laut yang mulanya agak berombak tiba-tiba menjadi tenang sebaik petugas terdiri dari pegawai Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Perak, Pegawai Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Perak memulakan proses membuang abu.
Labels:
abu al-quran,
al-quran di bakar,
laut tenang,
SuaraBerita
Subscribe to:
Posts (Atom)