Tuesday, July 2, 2013

Hattan, Bekas Isteri Ariani Pamer Kemesraan

Hattan


Hattan, Bekas Isteri Ariani Pamer Kemesraan


PADA 29 Jun lepas, anak perempuan produser Julie Dahlan yang juga seorang pelakon, Siti Hani Nurzana Harmi atau Hanny, 31, selamat bergelar isteri kepada adik kepada penyanyi Hattan, Shamsul Akmar Sahabudin, 33.

Majlis akad nikah berlangsung di Masjid Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang.

Pada majlis berkenaan Hanny menerima wang hantaran RM20,000, mas kahwin RM300 bersama tujuh dulang hantaran bermuat cincin berlian, telekung, set wangian, beg tangan, kasut kain dan dan sirih junjung.

Sementara pengantin lelaki pula menerima sembilan dulang hantaran antaranya al-Quran dan sejadah, jam, kasut, set wangian, kek, buah-buahan dan sirih junjung.

999017_10152300200889240_1100298681_n

Sebilangan rakan artis dilihat turut mengunjungi majlis yang diacarakan oleh Azwan Ali ini. Antaranya Adlin Aman Ramli serta isteri, Emelda Rosmila, Memey, Salina Saibi serta Aspalela Abdullah.

Hani dan Shamsul akan mengadakan resepsi sebelah lelaki di Sri Menanti, Negeri Sembilan pada 6 Julai ini.

Apa yang menarik, Hattan kelihatan sungguh rapat dengan bekas isteri, Ariani sepanjang majlis berlangsung. Nampaknya apa yang dirancang Hattan untuk berkahwin semula dengan Ariani atau nama sebenarnya, Ariani Mohd Abidin pada 15 Ramadan depan mungkin jadi kenyataan.

Hattan pernah memberitahu rancangan kahwin ini kerana menurutnya, dia dan Ariani sudah melupakan apa yang berlaku antara mereka dan mahu bersama semula demi anak kesayangan, Adam Eiman, 15.

Hattan dan Ariani pernah bernikah pada 17 Disember 1997 dan bercerai talak satu pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Monday, July 1, 2013

Kes Khalwat: Taktik Adik Angkat Kantoi

Khalwat


Kes Khalwat: Taktik Adik Angkat Kantoi


SABAK BERNAM – Seorang nelayan yang kononnya singgah untuk membawa adik angkatnya warga Indonesia ke rumah kakaknya, ditangkap khalwat di dalam sebuah bilik sebuah hotel bajet di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 40 tahun itu dicekup bersama pasangannya yang berasal dari Medan, Indonesia, 20-an, kira-kira jam 11. 15 malam sewaktu pasangan itu berada di dalam sebuah bilik tingkat dua bangunan berkenaan.

Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Sabak Bernam, Muhammad Suhaili Sajiman berkata, lelaki terbabit memberitahu dia singgah ke hotel itu untuk menjemput adik angkatnya itu ke rumah kakaknya yang tinggal berhampiran.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, lelaki itu memberi alasan baru sampai dan masuk ke dalam bilik hotel itu, sementara menunggu adik angkatnya bersiap untuk dibawa ke rumah kakaknya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sebaik saja siasatan dijalankan ke atas pasangan itu, pasangan itu dibawa ke Balai Polis Sabak Bernam.

Katanya, kedua-dua pasangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 29 Enekmen Jenayah Syariah Selangor No. 9 Tahun 1995 kerana Khalwat yang boleh memperuntukkan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-
duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Suhaili berkata, operasi itu yang disertai lima anggota penguat kuasa itu memberi tumpuan di dua lokasi iaitu sebuah hotel bajet dan pusat rawatan urut kaki yang dikatakan menjadi tumpuan pasangan bukan muhrim terutama pada cuti hujung minggu.

“Kita menumpukan usaha mencegah maksiat pasangan bukan muhrim di dua lokasi ini bagi memastikan gejala merosakkan akhlak itu dapat dibanteras habis-habisan,” katanya. – Sinar Harian

Cute….Awin Nurin Cium Izzue Islam

Awin Nurin Cium Pipi Izzue Islam


Cute….Awin Nurin Cium Izzue Islam


Pelakon tampan yang menjadi kegilaan ramai, Izzue Islam berkongsi video ucapan hari jadi buat isteri tersayang beliau, Awin.

Tambah membuat anda cemburu apabila Awin mencium pipi Izzue sebagai tanda sayang dan terima kasih kepada suaminya.

Walaupun jarak usia mereka hampir lapan tahun, itu tidak bermakna kasih sayang yang bermula sejak enam lalu akan terpadam.

Ramai peminat yang melontarkan komen menerusi laman Youtube menyifatkan pasangan itu sangat ‘sweet’.

Mana tidaknya, pasangan manja itu masing-masing menyuapkan kek sempena hari lahir Awin.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23 dan isteri yang juga pengurusnya, Nurinafilah Waharudin, 31, telah selamat diijabkabulkan pada 2 Jun lalu.

Semoga kasih sayang mereka ini akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat dan dikurniakan anak yang soleh dan solehah.

Selamat hari lahir kepada Awin, semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Shah Jazsle Semakin Tertekan

Shah Jazsle Semakin Tertekan Dengan Isu Khalwat


Shah Jazsle Semakin Tertekan


PETALING JAYA – Pelakon Shahrizal Jaszle mengakui semakin tertekan dengan kontroversi yang melanda dirinya ekoran ditangkap khalwat bersama seorang wanita selain diasak dengan pelbagai pertanyaan daripada pelbagai pihak.

Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle, 25, berkata, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan bagi memberinya ruang bermuhasabah tentang kejadian khalwat yang menimpanya baru-baru ini.

“Terus terang saya tidak tahu lagi ingin cakap apa mengenai kes tersebut supaya masyarakat dapat memahami situasi saya.

“Saya berasa letih dengan kontroversi tersebut dan ingin berehat seketika supaya dapat menenangkan fikiran,” jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Shahrizal, dia juga mengambil keputusan itu selepas tidak pernah mengambil cuti daripada berlakon sejak beberapa tahun lalu.

Pada 16 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu kenyataan medianya mengesahkan telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartment Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi.

Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes tersebut akan disebut di Mahkamah Syariah pada 12 November depan.

Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia enggan lagi mengulas kes berkenaan mahupun hubungannya dengan Redzwani Puteri kerana sedar jawapannya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak.

Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada terus bercakap tentang kes tersebut dan menunggu perbicaraan di mahkamah penghujung tahun nanti.

“Macam-macam saya kena hentam dan pelbagai pertanyaan yang diajukan sehingga saya tidak tahu lagi hendak menggunakan ayat apa bagi mempertahankan diri.

“Jalan paling baik adalah berdiam diri selepas ini dan tunggu perbicaraan di mahkamah kelak,” ujarnya.

Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian. – mStar

Juara Raja Lawak, Wala Belum Terfikir Tinggalkan Kerjaya Polis

 


Wala Belum Terfikir Tinggalkan Kerjaya Sebagai Polis


Juara Raja Lawak, Wala Belum Terfikir Tinggalkan Kerjaya Polis


PETALING JAYA – Juara program Raja Lawak musim ketujuh iaitu Wala memberitahu masih belum terfikir sama ada ingin meninggalkan kerjaya sebagai anggota polis demi meneruskan minat dalam bidang lawak.

Dianggotai oleh Walawd Parman dan Wan Mustafa Muntek, mereka berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana perlu berfikir semasak-masaknya sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Ini adalah tentang masa depan kami dan ia tidak boleh dibuat secara mendadak dan perlu berfikir semasak-masaknya terlebih dahulu.

“Bagaimanapun kami pada masa sama mahu mengembangkan kerjaya dalam bidang lawak di Kuala Lumpur,” kata Wan Mustafa kepada mStar Online.

Kumpulan yang berasal dari Sabah itu diumumkan sebagai juara program Raja Lawak musim ketujuh pada pertandingan akhir yang diadakan malam Jumaat lalu di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan undian sebanyak 50 peratus.

Kemenangan itu telah melayakkan mereka untuk membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Wan Mustafa menjelaskan mereka kini bertugas di Tuaran, Sabah dan hanya mengambil cuti tanpa gaji buat masa ini bagi membolehkan mereka menyertai program Raja Lawak.

Dalam pada itu, Wan Mustafa berkata, mereka tidak menyangka akan sampai ke tahap juara dan menganggap usaha keras mereka sebelum ini telah membuahkan hasil.

Jelasnya lagi, walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap sebagai polis mereka tidak mahu mensia-siakan bakat yang dimiliki dan berharap ia dapat dikongsi bersama peminat.

“Ini bukan kali pertama kami cuba untuk menyertai Raja Lawak dan ternyata cubaan berkali-kali itu berbaloi dan berharap dapat berkongsi bakat yang ada pada kami dengan peminat sekaligus merancakkan lagi industri lawak di negara ini,” katanya.

Ditanya mengenai wang kemenangan mereka, Walawd memberitahu buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang perancangan khusus tetapi merancang untuk melangsaikan hutang dan mengadakan kenduri kesyukuran atas kemenangan mereka berdua.

Sementara Wan Mustafa pula memberitahu akan menderma sebahagian wang berkenaan kepada sebuah rumah anak yatim di Tuaran yang telah diniatkan sejak awal selain berhasrat untuk menggunakan wang berkenaan bagi menghantar kedua ibu bapanya mengerjakan haji.

Dalam perkembangan lain, Wala akan bertanding pada program Raja Lawak Mega 2013 yang akan diadakan pada penghujung tahun ini. – mStar
Related Posts with Thumbnails