Images Not Found
Setelah lama  tidak mendengar khabar berita daripada penyanyi bersuara  lunak, Liza Hanim,  tiba-tiba dia muncul dengan penampilan baru dalam  program realiti Mentor malam  kelmarin. Liza Hanim yang diundang sebagai  seorang juri professional dilihat  bertudung litup dengan bentuk badan  berisi. Perubahan ini pasti membuatkan  ramai peminat Liza di luar sana  ingin tahu kisah di sebalik perubahan ini.
Menurut Liza sudah  dua bulan dia mengenakan tudung. Tidak ada sebab  tertentu yang membuatkan dia  mengambil keputusan untuk berubah imej.  Sebaliknya, ia berlaku tanpa dirancang.
“Saya mula  memakai tudung April lalu. Tidak ada sebab tertentu yang  membuatkan saya  berubah imej ini. Kalau ikutkan memang dah lama ada  niat, cuma saya tidak  benar-benar yakin hendak lakukan. Bulan April  lalu, tiba-tiba keinginan itu  sangat kuat. Bangun tidur suatu pagi tu,  saya terus teringat hendak pakai  tudung.
Saya pun bincang  dengan suami dan dia menyokong niat saya. Tapi dia  sempat pesan supaya tidak  buat separuh jalan. Dengan emak dan ayah saya  pun saya tidak maklumkan. Mereka  hanya tahu selepas kami berjumpa.  Mereka pun tidak ada masalah dengan perubahan  ini. Semua ahli keluarga  menyokong saya,” cerita Liza.
Menyentuh soal  kerjaya nyanyiannya selepas ini, Liza memberitahu dia  akan terus menyanyi  walaupun sudah bertudung. Tambahnya, menyanyi  adalah minatnya dan dia tidak  mungkin meninggalkan nyanyian begitu  sahaja.
‘Sudah bertudung  tidak bermakna saya akan meninggalkan dunia nyanyian.  Saya masih ingin berada  di dalam industri, cuma buat masa ini saya  belum bersedia untuk buat kemunculan  semula. Saya sedang mencari imej  yang bersesuaian. Kalau sudah bertudung, pasti  saya tidak boleh  bergerak di pentas macam dahulu lagi. Banyak yang perlu saya  fikirkan.  Bagaimanapun, minat saya masih pada pop. Saya tidak boleh lari dari   pop.
Paling penting,  saya mahu turunkan berat badan dahulu. Perkara ini  memang bukan senang untuk  saya lakukan. Ikut pengalaman bersalin anak  pertama dahulu, saya ambil masa  setahun setengah untuk kembali ke  bentuk badan asal. Anak kedua ini tidak tahu  pula macamana. Kalau  semuanya berjalan seperti yang dirancang, saya akan muncul  dengan  single terbaru pada bulan puasa nanti. Sekarang tengah mencari 
right  song for the right image,” ujar  Liza yang melahirkan anak  perempuan keduanya pada tahun lalu.
Bercerita tentang  ‘kehilangannya’ pula, menurut penyanyi yang memegang  watak Saloma dalam Teater  Muzikal P.Ramlee ini, dia sebenarnya sibuk  menguruskan syarikat miliknya, LH  Media Sdn Bhd yang diusahakan bersama  suami.
“Selepas  bersalin, niat saya mula-mula adalah untuk menguruskan badan.  Jadi, untuk  tujuan itu, saya cuba sibukkan diri dengan bisnes. Apabila  sudah sibuk dengan  bisnes, banyaklah benda yang perlu saya uruskan.  Ditambah pula dengan anak-anak  yang semakin membesar. Banyak keperluan  mereka yang perlu saya uruskan.  Kebetulan Marsya masuk darjah satu  tahun ini. Tahu-tahu sajalah, kalau urusan  bisnes dan rumahtangga  bercampur, memang sibuklah jadinya. Sebab itulah susah  hendak jumpa  saya di mana-mana. Kiranya, Mentor ini adalah kemunculan pertama  saya  selepas bersalin,” cerita Liza.
Sebagai salah  seorang juri professional yang diundang ke Mentor malam  kelmarin, Liza secara  berterus-terang mengatakan Adi merupakan peserta  yang paling lemah apabila  diminta memilih salah seorang protege yang  tidak menyerlah. Bukan itu sahaja,  Liza turut menamakan Mohd sebagai  protege yang paling bagus.
Mengulas tentang  tindakannya itu, Liza memberitahu dia berbuat begitu  bukan kerana hendak  jatuhkan sesiapa. Sebaliknya, ia dilakukan  bertujuan untuk memberi peluang  kepada Adi untuk membetulkan kesilapan.
“Saya bagi komen  itu secara telus. Bukan hendak jatuhkan sesiapa. Semua  mentor yang berada di  atas pentas tadi adalah kawan-kawan saya. Jadi  tidak mungkin saya berniat tidak  baik. Sebenarnya semua protege bagus.  Komen yang saya buat adalah berdasarkan  persembahan mereka pada malam  ini.
Mohd paling  konsisten, sebab itu saya kata dia bagus. Macam Adi pula,  dia ada melakukan  beberapa kesilapan ketika persembahannya. Saya harap  dengan komen yang saya  berikan, dia tidak akan patah semangat,  sebaliknya memperbetulkan kesilapannya  itu. Untuk Mohd pula, jangan  jadikan pujian itu untuk berasa selesa. Jika silap  percaturan, mungkin  minggu depan dia akan buat kesilapan. Bagi saya, semua  protege masih  ada peluang yang sama,” ujar Liza mengakhiri perbualan.