Saksi ketujuh pendakwaan, Muhammad Faleeq Hakimi Zazali, 16, berkata, dia melihat Mohd Fazli Azri Jamil melakukan perbuatan itu berdekatan dengan kotak penalti di padang permainan itu ketika sedang menyaksikan rakannya bermain bola sepak. Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor itu berkata, pada awalnya dia melihat Mohd Fazli, 28, yang dikenalinya sebagai Abang Mat naik angin selepas kanak-kanak itu tidak mendengar arahan supaya kembali membaling bola yang disepak ke arahnya. “Ketika saya tiba di padang itu, saya lihat Abang Mat sepak bola dan kemudian menyuruh budak perempuan itu mengambilnya semula. Saya nampak budak itu ambil balik bola itu dan kemudian membalingnya ke arah Abang Mat. “Abang Mat marah. Dia kata, kau tidak ada kaki ke nak bagi bola itu. Selepas itu, Abang Mat kemudian sepak bola itu ke arah budak itu. Budak itu ambil balik dan peluk bola dalam keadaan mencangkung. Abang Mat kemudian minta balik bola, tetapi budak itu diam menyebabkan Abang Mat terus sepak bola yang dalam pelukan kanak-kanak itu. “Budak itu terus terpelanting,” katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes Mohd Fazli yang didakwa membunuh Syafiah Humaira di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali di sini, pada jam 6.30 petang, 25 Februari lalu. Mohd Fazli didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani, Halim Mohd Rashid dan Zureen Alina Mohd Dom, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Gurbachan Singh.
Muhammad Faleeq berkata, Abang Mat kemudian menyeret tangan budak itu selepas melihat kanak-kanak yang terpelanting berkenaan enggan berdiri semula seperti yang diarahkannya. Katanya, dalam keadaan itu, budak itu hanya mampu menjerit kesakitan apabila Abang Mat mencampaknya ke luar padang. “Dia kemudian tarik tangan budak itu supaya bangun, tetapi kanak-kanak itu terjatuh semula. Abang Mat suruh budak itu duduk sebelum dia bertindak memijak perut dan menyepak bahu kiri kanak-kanak itu,” katanya. Pada peringkat itu, katanya, dia bergegas ke tempat kejadian, namun tindakannya mengundang kemarahan tertuduh yang memberitahunya, ‘Kau jangan sibuk, nanti kau yang akan aku buat macam ini.’ Sementara itu, saksi kesembilan pendakwaan, Muhammad Sanusi, 15, berkata dia melihat seorang budak perempuan terkena pintu teksi milik Mohd Fazli yang ditutup tertuduh selepas kanak-kanak itu enggan keluar dari kenderaan itu pada petang kejadian.
Menurut saksi, tertuduh sebelum itu datang ke padang berkenaan dengan menaiki teksi dengan dua budak, satu daripadanya perempuan yang bertubuh agak besar berbanding satu lagi kanak-kanak lelaki yang masih kecil yang dikenalinya sebagai Amy. Terdahulu, saksi pendakwaan kelapan, Muhammad Nur Afiq Othman berkata, 15, pada petang sama, dia melihat Mohd Fazli memarahi seorang budak perempuan kerana tidak mahu menjaga budak lelaki bernama Amy berikutan tertuduh mahu bermain bola. “Abang Mat kata, Pia kau jagalah Amy, karang aku pijak dengan kasut but ini,” katanya. Perbicaraan bersambung hari ini.
0 comments:
Post a Comment