Sunday, June 13, 2010
Lisa Surihani Bakal Primadona Filem?
Jarang sekali kita dengar tentang kisah kontroversi pelakon ini berbanding kisah mengenai karier lakonannya. Pemilik nama Lisa Surihani Mohamed boleh dikatakan sebagai artis yang bersih dari kontroversi.
Memiliki raut wajah yang jelita, pelakon ini sebenarnya sudah mula menceburkan diri dalam dunia hiburan sejak berusia 11 tahun lagi menerusi bidang pengiklanan, peragaan dan pengacaraan.
Anak jati Kuala Lumpur ini mula mencipta nama dalam industri perfileman tempatan selepas membintangi filem ‘I’m Not Single’. Walaupun di awal kemunculannya Lisa dikutuk, gara-gara lakonannya nampak kaku, namun atas usaha keras gadis berusia 24 tahun ini, akhirnya dia berjaya menggondol Anugerah Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-21.
Selepas kejayaan itu, tawaran lakonannya semakin mencurah-curah. Bayangkan untuk tahun ini saja, banyak drama dan filem lakonan Lisa yang sudah dan akan ditayangkan, antaranya ‘V3 Samseng Jalanan’, ‘Semerah Cinta Stilleto’, ‘Adamaya’, ‘Mertua vs Menantu 2’, ‘Lagenda Budak Setan’, ‘Kapoww!!’, ‘Zoo’ dan ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’.
Melihat pada lakonannya yang banyak menghiasi layar TV dan layar perak, graduan undang-undang Universiti Aberystwyth, Wales ini dikatakan bakal menggantikan tempat Erra Fazira, selain mendapat jolokan primadona filem.
“Saya rasa rendah diri bila orang cakap macam itu. Saya baru lagi sebenarnya dan masih dalam peringkat belajar. Saya hormati pendapat itu dan hanya mampu buat yang terbaik.”
Namun bila dah banyak sangat kemunculan Lisa menghiasi layar TV dan layar perak, ada juga suara-suara sumbang yang tidak suka dan mula bosan dengan lakonannya.
“Bila banyak muncul orang akan cakap, bila tak banyak muncul pun orang akan cakap. Bagi saya, rezeki di tangan Allah, ini semua ketentuan Allah dan saya serahkan segalanya kepada Allah.
“Kalau sampai satu masa peminat bosan pada saya, itu rezeki. Saya hanya doakan yang terbaik,” ujar Lisa.
Penat berlakon
Ketika ditemui selepas tamat majlis pra-tonton filem ‘Zoo’, raut wajah Lisa jelas kelihatan seperti orang yang tidak cukup rehat. Apabila ditanya mengenai hal ini, Lisa mengakui perkara tersebut.
“Saya akui saya tengah penat. Saya tak merungut, cuma bagi saya semua orang akan harungi perkara ini. Setiap bidang ada penat tersendiri. Saya berpegang kepada prinsip ‘no pain no gain’. Saya fikir positif, jika saya penat sekarang, mungkin masa akan datang saya akan dapat sesuatu.”
Menurut Lisa, dia tidak cukup rehat kerana sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul ‘Tudung Ekspress’, terbitan Film Scape.
“Lepas habis ‘Adamaya’, saya terus buat ‘Tudung Ekspress’. ‘Shooting’ dari pagi sampai malam setiap hari, tak ada rehat langsung. InsyaAllah, lepas ‘Tudung Ekspress’, saya akan ambil cuti dan berehat.
Takut berlakon dengan haiwan
Selepas bergandingan dengan Mazlan Pet Pet menerusi filem ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’, mereka sekali lagi digandingkan dalam filem terbaru terbitan MIG Production Sdn Bhd berjudul ‘Zoo’.
Lisa yang merupakan artis residen Metrowealth memberitahu, membintangi filem ‘Zoo’ merupakan satu cabaran baru buatnya, apatah lagi filem ini merupakan filem pertama dalam sejarah perfileman Malaysia yang melibatkan haiwan.
“Bukan sesuatu yang senang berlakon dengan haiwan, apatah lagi haiwan liar. Pada mulanya saya agak risau dan takut, maklumlah ia bukan haiwan peliharaan. Namun dengan kehadiran abang Lan, saya jadi yakin.
“Saya ada juga tanya pendapat pelatih-pelatih haiwan di situ macam mana nak biasakan diri dengan haiwan. Kira-kira dua minggu jugalah saya ambil masa untuk membiasakan diri dengan haiwan-haiwan tersebut dan bau di sana. Bagi saya, ia satu pengalaman yang baru.”
Dalam filem ini, Lisa memegang watak sebagai Shiela, seorang pekerja di zoo. Filem ‘Zoo’ mengisahkan tentang Ad, lakonan Lan Pet Pet, seorang pengawal zoo yang mempunyai kelebihan bercakap dengan binatang. Setiap malam, haiwan di zoo akan hilang dan Ad dituduh bersubahat mencuri.
Ad mula menyiasat siapa dalang di sebalik kehilangan haiwan-haiwan di sana untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Filem ‘Zoo’ yang turut dibintangi Bob Lokman, Angah (Raja Lawak), Azlee Jaafar dan Jesse Lim akan ditayangkan pada 1 Julai ini.
Labels:
Gossip Artis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment