Tuesday, June 15, 2010
Mentor 4: 'Mamat' Meloncat Naik!
Keputusan konsert terakhir Mentor Kumpulan B malam kelmarin menyaksikan keputusan di luar jangkaan. Apa tidaknya, protege Ziana Zain, Mohd yang jauh ketinggalan sebelum ini, tiba-tiba meloncat naik ke tangga teratas dengan mata keseluruhan 102. Keputusan itu sekaligus menyingkirkan protégé Mus, Ayim yang sebelum ini mengungguli carta Kumpulan B. Ayim hanya mampu mengaut 98 markah, manakala protege Dayang Nurfaizah, Adi bertahan di tempat kedua dengan 101 markah.
Kejayaan yang diraih oleh Mohd atau panggilan mesranya ‘Mamat’ ini, membuktikan segala kemungkinan boleh berlaku dalam sesebuah program realiti. Walaupun Mohd tidak mendapat komen yang bagus daripada juri profesional, iaitu Audi Mok dan Faizal Tahir tetapi peminat masih memberi sokongan dengan menghantar undian tinggi.
Bagi SP, terdapat dua kemungkinan yang membawa kepada keputusan ini. Satu, penyokong Ziana tidak mahu melihat penyanyi kesayangan mereka meninggalkan pentas Mentor dan satu lagi kemungkinan, sudah pastilah persembahan yang dipamerkan oleh Mohd. Kesungguhan pemuda berusia 22 tahun ini memang jelas terlihat ketika dia berada di atas pentas. Malah, kekuatan vokalnya turut mendapat pujian kedua-dua juri.
Kegagalan Ayim untuk terus mara ke separuh akhir pula mungkin disebabkan kegagalannya beraksi cemerlang. Ketika menyampaikan lagu “Getaran Jiwa”, jelas kedengaran vokalnya tidak terkawal. Untuk persembahan duetnya dengan Tom, My Starz LG pula, SP setuju dengan komen Faizal yang mengatakan ia tidak begitu sesuai dengan personaliti Ayim.
Memang nampak kelakar apabila seorang ‘rockers’ tiba-tiba menari sebegitu. Ayim sepatutnya beraksi bebas dengan menguasai ruang pentas tanpa terikat dengan sebarang langkah tarian. Berdasarkan persembahan Ayim malam kelmarin, dia memang tidak sebagus Mohd dan Adi.
Mengulas tentang keputusan mengejutkan itu, penerbit / pengarah Mentor 4, Mohd Suffian Isa berkata, “Keputusan pada malam ini tidak menunjukkan genre ‘rock’ sukar diterima oleh peminat. Ini kerana juara Mentor sebelum ini, Fiq, membawakan muzik yang sama. Bagi saya, keputusan malam ini adalah berdasarkan persembahan yang menunjukkan kemampuan protege itu sendiri. Jika mereka memberikan persembahan yang baik, sudah pasti penonton akan mengundi mereka untuk terus mara,” ujar Suffian.
Ziana bersedia untuk menang atau kalah
Sementara itu, Ziana menyuarakan rasa gembiranya kerana Mohd dapat terus mara ke peringkat separuh akhir.
“Sebenarnya untuk malam ini saya sudah sedia untuk menang atau kalah. Bagaimanapun, saya tidak fikirkan tentang kemungkinan terkeluar. Saya dan Mamat hanya buat persediaan sebaik-baiknya untuk persembahan pada malam ini dan alhamdulillah, kami berjaya, “ ujar Ziana.
Mentor Ayim, Mus May pula memberitahu yang dia tidak pasti dengan punca kekalahan Ayim. Ini kerana baginya, Ayim telah menunjukkan kemajuan dari minggu ke minggu.
“Mungkin persembahan Ayim kurang mendapat perhatian daripada juri mahupun penonton. Sebab itu undian pada malam ini tidak berpihak kepadanya. Saya pun tidak pasti sebab yang sebenar. Bagi saya, Ayim telah melakukan yang terbaik. Setiap minggu dia menunjukkan kemajuan. Malah, dia juga sudah tunjukkan semua yang dia ada.
“Ayim boleh menyanyi, boleh main gitar dan dia juga boleh menari. Mungkin bukan rezeki dia. Apa pun, saya tidak kecewa dengan keputusan ini. Adat pertandingan, ada kalah dan menang,” ulas Mus yang mengakui dia yakin dengan bakat yang dimiliki oleh Ayim.
Dalam pada itu, Dayang memberitahu, dia dan Adi tidak mudah berasa selesa dengan kedudukan sekarang ini kerana segala kemungkinan boleh berlaku. Jelas Dayang, walaupun Adi menunjukkan peningkatan dalam persembahannya, tetapi dia sedar masih banyak yang perlu dipelajari oleh protegenya itu.
“Kami sama sekali tidak berasa selesa dengan kedudukan ini. Banyak lagi yang perlu diperbaiki oleh Adi. Bagi Dayang, lagi banyak Adi mengadakan persembahan, lagi banyak yang boleh dipelajarinya. Apa yang penting, kami akan pastikan untuk buat yang terbaik untuk konsert seterusnya,” ulas Dayang menutup sidang media selepas konsert berakhir malam tadi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment