
Perjuangan Ayim di pentas Mentor 4 sudah pun berakhir malam kelmarin.  Kekalahan protégé Mus itu sudah pasti membuatkan penyokong-penyokongnya  kecewa dan terkejut. Apa tidaknya, Ayim atau nama sebenarnya Haimie  Napsun berada di kedudukan teratas sebelum ini. Namun, segalanya berubah  sekelip mata apabila pada konsert ketiga, dia diumumkan sebagai peserta  yang tersingkir.
Ayim ternyata sebak apabila Ally Iskandar mengumumkan yang dia terpaksa  meninggalkan pentas Mentor. Ayim dilihat bagaikan tidak boleh menerima  kekalahan itu. Namun perkara ini disangkal oleh Ayim ketika ditanya  tentang perasaanya di sidang media yang diadakan selepas konsert itu.
Menurut Ayim, dia menerima kekalahan itu seadanya. Tetapi kekalahan itu  sama sekali tidak membunuh cita-citanya untuk bergelar penyanyi.
“Saya sudah buat yang terbaik. Jadi, saya terima kekalahan ini.  Bagaimanapun saya tidak akan berhenti setakat ini. Saya akan cari  peluang untuk pergi lebih jauh. Saya buat perkara ini bukan untuk  suka-suka, tetapi saya ingin menjadikan nyanyian sebagai karier,” ujar  Ayim berkeyakinan.
Sementara itu, mentor kepada Ayim, Mus rupa-rupanya sudah mempunyai  perancangan untuk anak buahnya itu. Menurut Mus, dia sangat yakin dengan  bakat yang dimiliki oleh Ayim. Malah, dia juga tidak berasa kecewa  dengan kekalahan Ayim kerana baginya itu adalah adat pertandingan. Ada  kalah dan menang.
“Saya tidak mahu bakat yang dimiliki oleh Ayim ini terbuang begitu  sahaja. Dari awal lagi saya sudah berjanji akan buat sesuatu untuk Ayim  pergi jauh dalam bidang ini. Bagi saya, kalau dia menang program ini  peluangnya cukup cerah. Jika kalah, peluang tetap ada, tetapi pasti  mengambil masa lebih panjang.
“Untuk pastikan Ayim terus berada di dalam bidang ini, saya bercadang  untuk buat single untuknya. Jika sambutannya bagus, mungkin saya akan  buat album pula untuknya. Saya akan cuba sedaya-upaya untuk membantu  Ayim mencapai cita-citanya. Saya tak boleh jamin 100 peratus, tapi saya  ada syarikat rakaman sendiri. Saya akan tolong mengikut kemampuan saya.  Saya buat ini kerana saya tahu Ayim minat dengan muzik,” ulas Mus.
 Yakin kebolehan Ayim
Ditanya mengapa dia sanggup mengeluarkan belanja sendiri semata-mata  untuk bakat baru seperti Ayim, Mus memberitahu, dia sangat yakin dengan  kebolehan Ayim dan nampak Ayim boleh pergi lebih jauh jika diberi  pendedahan yang secukupnya.
“Bagi saya Ayim telah tunjukkan semua yang dia ada. Dia bukan sahaja  boleh menyanyi, tetapi Ayim juga boleh bermain gitar dan piano. Kita  kena ingat, bukan semua penyanyi boleh bermain alat muzik tetapi Ayim  boleh. Setiap minggu Ayim menunjukkan peningkatan dalam persembahannya.
“Mungkin ada persembahannya yang tidak mencapai seratus-peratus, tetapi  Ayim sudah lakukan yang terbaik. Saya tidak mahu perjalanannya terhenti  setakat ini. Sebab itulah saya ingin membantunya,” tegas Mus.
Malam kelmarin Ayim mempersembahkan lagu “Getaran Jiwa” yang susunan  muziknya telah diberi nafas baru oleh Mus. Lagu ini dilihat benar-benar  mencabar kekuatan vokalnya. Untuk persembahan duet pula, Ayim  menyampaikan lagu “Situasi”, bergandingan dengan Tom, My Starz LG.
Ayim mendapat komen positif daripada juri profesional, Audi Mok dan  Faizal Tahir. Faizal menyifatkan Ayim sebagai seorang penyanyi yang ada  gaya tersendiri.

0 comments:
Post a Comment