Images Not Found
Melihat lakonannya di dalam sitkom komedi '2+1' serta 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu', pasti tiada siapa yang menduga tentang penderitaan yang dialami oleh pelakon yang suatu ketika dahulu pernah menceriakan hidup para peminatnya ini.
Namun kini, di dalam usia senja, pelakon serta pelawak terkenal, Ahmad Busu semakin hilang taringnya. Apatah lagi dia kini menderita pelbagai penyakit, membuatkan dia lebih selesa menghabiskan kebanyakan masa senggangnya di rumah bersama keluarga.
Berpeluang bertemu dengannya di kediaman keluarganya di Taman Seri Andalas, Klang baru-baru ini, sempena program ziarah yang dilakukan oleh persatuan Seniman, pihak media agak terkejut melihat penampilan terbarunya. Dia kelihatan semakin kurus dan agak uzur walaupun cuba disembunyikan dengan keletahnya yang ceria serta kelakar.
Paling syahdu apabila ada yang bertanya mengenai umurnya. Dia segera memberitahu, "Umur saya sekarang sudah 57 tahun. Kalau nak mati pun sekarang, kira ok dah," katanya. Walaupun kata-katanya itu diucapkan secara berseloroh, namun siapa yang tahu apa yang tersimpan jauh di sudut hatinya.
Diminta bercerita mengenai segala macam penyakit yang dideritainya itu, dia memberitahu dia terkena serangan angin ahmar pada 12 September 2009. Sejak itu, dia terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Gara-gara penyakit tersebut, saya terpaksa dimasukkan ke hospital selama enam hari dan langsung tidak boleh berjalan selama sebulan. Namun, hasil rawatan doktor dan juga urutan yang saya lakukan, saya kini boleh berjalan.
"Tetapi kaki saya masih tetap terasa kebas dan kurang deria rasa. Saya juga pernah mendapatkan rawatan MRI. Selain kena serangan angin ahmar, saya mempunyai penyakit kencing manis yang telah saya tanggung sejak 15 tahun lalu.
"Kaki saya pernah terkena air panas sebelum ini kerana kaki saya sudah tidak mampu merasa sama ada air itu panas atau sejuk. Akibatnya kaki saya mengalami kudis dan bisul. Mujurlah hasil rawatan doktor, segala luka yang dialami kaki saya sembuh.
"Maklumlah saya ni mempunyai kencing manis dan luka yang ada memang susah nak sembuh. Ketika itu saya fikir mungkin kaki saya akan dipotong.
"Saya memang sabar dan tahan dengan penyakit saya, tetapi saya risau orang di sekeliling saya yang tidak tahan atau sabar dengan penyakit saya. Kalau boleh saya tak nak susahkan orang lain," katanya menjelaskan tentang situasi sebenar yang dialaminya.
Harap duit pencen
Mengenai kos perubatan, Ahmad Busu yang sebelum ini sering bergandingan dengan Imuda di dalam sitkom lakonannya memberitahu, dia bersyukur kerana sebelum ini dia mempunyai kerja tetap dan sehingga kini masih menerima pencen. Namun katanya, sebanyak manalah pencen yang diterimanya dan sedar apabila selalu digunakan ia akan tetap habis.
"Sekarang ni saya hanya mengharapkan anak-anak dan sedikit pencen yang saya terima. Memanglah ada mempunyai sedikit simpanan, tetapi apabila sudah lama tidak bekerja dan hanya menggunakan simpanan tersebut, lama-kelamaan ia juga akan habis.
"Tetapi apa yang boleh saya lakukan lagi? Apapun saya bersyukur kerana keadaan saya tidaklah begitu teruk jika dibandingkan dengan orang lain yang jauh lebih menyedihkan. Mujurlah kini saya tinggal di rumah sendiri dan tidak perlu menyewa lagi. Kalau ada rezeki, rumah ni akan habis saya bayar pada tahun depan," ujarnya.
Mengenai bantuan yang diberikan, dia begitu berbesar hati kerana saban masa persatuan Seniman akan menghulurkan bantuan. Walaupun bantuan yang diberikan tidak besar, namun tanda ingatan dan menghargai artis veteran sepertinya lebih penting daripada segala-galanya.
"Seperti hari ini, saya gembira apabila Seniman berkunjung ke rumah saya. Apa yang penting hari ini dapat bersama-sama bertemu rakan-rakan lama. Sebabnya saya dah lama tidak terlibat dengan dunia seni," ujarnya yang masih merindui dunia seni yang sudah sebati dengan hidupnya.
Walau bagaimanapun jelasnya, buat masa ini dia tidak menerima mana-mana tawaran berlakon kerana sedar tahap keupayaannya membataskan mana-mana pengarah atau penerbit untuk menggunakan khidmatnya.
"Saya sekarang sudah tidak berlakon dan hanya duduk di rumah. Dulu saya tidak boleh berjalan. Mujurlah kini selepas menjalani beberapa sesi rawatan dan mengurut, saya boleh berjalan walaupun tidak secergas dulu. Sekurang-kurangnya saya tidak menyusahkan orang lain sangat," katanya.
0 comments:
Post a Comment