Saturday, October 2, 2010

Lagenda Rock Kongsi Satu Pentas

images not found

Tajuk artikel ini sudah pasti membuatkan ramai peminat tiga Lagenda Rock ini teruja untuk mengetahui maklumat lanjut. Memang benar apa yang dibaca. Search, Wings dan Ella akan bergabung di atas satu pentas bagi menjayakan konsert yang dinamakan Red On Black.
Konsert ini adalah lanjutan kejayaan siri jelajah konsert Double Trouble yang mencetuskan fenomena apabila ia dibanjiri oleh lautan peminat yang tidak jemu-jemu menyokong Search dan Wings selama ini.
Kehadiran Ella pula adalah untuk memberi impak yang lebih besar kepada penganjuran konsert ini. Ratu Rock ini masih berbisa. Buktinya, persembahan Ella secara solo di Istana Budaya pada 1 dan 2 Julai lalu mendapat sambutan cukup memberangsangkan.
Menyedari hakikat ini, Awie Entertaiment Sdn Bhd dan Red On Black sepakat untuk menganjurkan konsert julung-julung kalinya ini. Lebih istimewa, konsert yang dijadualkan pada 15 Oktober hadapan ini bakal diadakan di luar Kuala Lumpur iaitu di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang.
Mengulas tentang pemilihan lokasi tersebut, Awie memberitahu mereka sepakat memilih Kuantan, Pahang kerana merasakan jarang terdapat penganjuran konsert di negeri Pantai Timur itu.
“Kami yakin ramai peminat yang akan datang memberi sokongan. Kalau ikut pengalaman lalu, peminat di sebelah Pantai Timur sama hebat dengan peminat-peminat kami di tempat lain. Saya percaya, konsert Red On Black itu nanti akan mengukir kejayaan seperti konsert-konsert kami yang lain. Lebih-lebih lagi konsert kali ini turut disertai oleh Ella,” ujar Awie yang menaruh harapan Red On Black bakal menjadi sejarah.
Berkongsi tentang perancangan untuk konsert itu, Awie memberitahu dia dan rakan-rakannya telah bersetuju untuk mengembalikan kegemilangan irama rock pada zaman 80-an pada malam konsert itu nanti.
“Konsert ini akan mengambil masa kira-kira dua jam setengah, dan kami ingin mengembalikan kegemilangan irama rock pada tahun 80-an pada malam itu nanti. Lebih 25 buah lagu hits daripada Wings, Search dan Ella akan diperdengarkan kepada peminat yang hadir. Kami akan buat yang terbaik untuk pastikan semua pihak puas hati,” jelas Awie lagi.
Sementara itu, Ella yang turut hadir dalam sidang media konsert itu memberitahu dia berasa cukup berbesar hati kerana dapat berkongsi pentas dengan dua nama besar dalam industri muzik itu. Jelas Ella, walaupun dia hanya artis undangan, tetapi dia mahu lakukan yang terbaik demi peminat yang datang memberi sokongan.
“Buat masa ini Ella belum lagi memilih lagu-lagu yang bakal dipersembahkan. Rasanya Ella akan gabungkan lagu-lagu hits dari tahun 80-an, 90-an dan terkini. Bukan apa, Ella percaya mesti peminat yang hadir nanti terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Jadi, lebih baik Ella puaskan hati semua orang,” ujar Ella yang akan memulakan latihan secara solo dalam sedikit masa lagi.
Bagi yang berminat untuk menyaksikan tiga Lagend Rock ini beraksi, jangan lupa dapatkan tiket konsert ini sebelum kehabisan. Tiket konsert ini cuma berharga RM57. Tiket-tiket boleh didapati di 1malaysiaticket.com dan Viva Sport Sdn Bhd sekiranya anda berada di Lembah Klang.
Bagi yang berada di Kuantan, Pahang, tiket boleh dibeli di kaunter Stadium Darul Makmur, Hotel Seri Malaysia (010-2134170 – Amizol), PM Telecomunication (09- 5143888), Restoran Kampung Tengah (09-5138103 - Jamil), dan Sinar Entertainment (09-5146977 –Rosdi).

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails