Wednesday, April 10, 2013

Jimmy Shanley Sedia Tamatkan Zaman Duda

Jimmy Shanley


Jimmy Shanley Sedia Tamatkan Zaman Duda


KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Jimmy Shanley sudah bersedia untuk menamatkan zaman dudanya selepas bercerai dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy pada Oktober tahun lalu.

Jimmy, 33, berkata, walaupun mengharungi proses penceraian yang panjang di mahkamah dia tidak serik untuk berkahwin semula jika bertemu jodoh dalam masa terdekat.

“Tiada sebab mengapa saya perlu serik dengan perkahwinan dan harap-harap Allah menemukan saya dengan jodoh yang sesuai,” ujarnya kepada mStar Online.

Jimmy ditemui selepas hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Isnin bagi mendengar keputusan mahkamah berhubung tuntutan hak penjagaan anaknya iaitu Zahrah Rania Shanley yang berusia setahun sembilan bulan.

Mahkamah memutuskan hak penjagaan Zahrah Rania diberikan kepada bekas isteri Jimmy iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25.

Pelakon itu bagaimanapun mendapat hak lawatan dan bermalam selama tiga hari dalam seminggu bersama anaknya selain kebenaran menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha secara bergilir-gilir.

Dalam pada itu, Jimmy berkata, dia belum menemui pengganti dan masih mencari calon isteri dan berharap dapat menemui pasangan yang sesuai.

“Saya ni ‘duda tak laku’ dan masih solo. Jika ada jodoh pasti saya akan berkahwin,” ujarnya berseloroh.

Jimmy juga berkata, dia tidak pernah menyesal dengan kegagalan rumah tangganya kerana peristiwa pahit itu telah banyak mengajarnya supaya menjadi lebih matang.

Ujarnya, dia bertuah kerana diberi dugaan itu pada usia muda supaya tidak melakukan kesilapan sama pada masa hadapan.

“Saya lebih menghargai kehidupan saya dan menjadi lebih matang. Saya juga sedar apabila sesuatu perkara buruk itu terjadi kita tidak boleh menyalahkan orang lain.

“Peristiwa ini juga telah mendekatkan diri saya dengan Allah,” katanya.

Tambah Jimmy, dia sudah melakukan yang terbaik buat perkahwinan terdahulunya namun berserah kerana tiada jodoh.

“Saya sentiasa mendoakan perkara yang baik-baik untuk bekas isteri dan berharap dia akan menemui kebahagiaan dalam kehidupannya,” kata Jimmy.

Sementara itu, Jimmy berharap masyarakat mengambil iktibar tentang kisah rumah tangganya.

“Setiap masalah rumah tangga ada jalan penyelesaiannya dan selesaikan baik-baik. Sejujurnya saya berharap ini adalah kali terakhir saya datang ke mahkamah dan tidak mahu kembali lagi ke sini,” jelasnya.

Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh.

Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober 2012.

Jimmy sekarang merupakan juruhebah saluran radio UFM yang boleh diikuti di Lembah Klang menerusi frekuensi 101.3 FM. – mStar Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails