Saturday, April 6, 2013

Langgar bukan filem aksi kosong



Filem Langgar
Adi Putra memegang watak Nizam dalam Langgar. - Foto ihsan produksi Langgar

SETELAH dua tahun filem Langgar ‘disimpan’, akhirnya hasil sentuhan pertama Syed Hussein atau Sein itu bakal menemui penonton 11 April ini.

Untuk percubaan pertama, hasilnya boleh dibanggakan malah hanya satu babak saja yang dipotong bagi membolehkan filem itu diklasifikasikan sebagai 18.

Menurut penerbitnya, Gayatri Su-Lin Pillai, filem Langgar bukan setakat filem aksi.

“Seperti sebelum ini, Tayangan Unggul tak buat hiburan yang kosong. Setelah meneliti 15 draf skrip, kami yakin dengan jalan ceritanya. Kini, kami gembira dengan hasilnya. Filem ini bukan hanya tentang cerita tipikal gangster.

“Ini boleh dikatakan ‘comeback’ kami untuk filem aksi. Bagi saya, Langgar bukan setakat hanya filem aksi. Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang menuntut balas dendam. Tapi ia bukan tentang gengsterisme. Ia tentang hidup seorang lelaki yang dimusnahkan oleh gangster,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Menyentuh tentang peluang yang diberikan pihaknya kepada pengarah-pengarah baru termasuk Sein untuk menapak dalam industri, beliau akui ia merupakan matlamat Tayangan Unggul untuk melahirkan pelapis.

“Matlamat kami adalah untuk melahirkan pelapis untuk industri. Untuk pengarah yang pertama kali mengarah, dia memang memenuhi apa yang kami nak.

“Saya puas hati dengan hasil Langgar. Apabila anda menonton, anda tidak akan tahu bahawa dia pengarah yang pertama kali mengarah,” katanya.

Langgar mengisahkan tentang Nizam yang ingin menuntut keadilan atas kematian isteri dan anaknya dalam kandungan yang dibunuh oleh sekumpulan gangster.

Demi membalas dendam, Nizam bertindak menyertai kumpulan gangster bagi mendekatkan diri dengan pembunuh isteri dan anaknya.

Konflik semakin hebat apabila pergaduhan demi pergaduhan berlaku antara gangster-gangster tersebut.

Penceritaan yang tidak meleweh membuatkan penonton tidak bosan malah aksi-aksi yang dipamerkan cukup mendebarkan.

Langgar dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Adi Putera, Namron, Hans Isaac, Natasha Hudson, Khir Rahman dan Bell Ngasri.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails