Tuesday, April 16, 2013

Raja Ilya Rela Bergelar Andartu

Raja Ilya


Raja Ilya Rela Bergelar Andartu


PETALING JAYA – Pelakon Raja Ilya tidak hirau sekiranya terpaksa bergelar andartu (anak dara tua) kerana dia tidak pernah merancang untuk berkahwin selepas putus tunang dua tahun lalu.

Raja Ilya, 28, berkata, pengalaman kecewa yang hampir menghancurkan hatinya itu telah membuatkan dia serik dan fobia mendekati mana-mana lelaki.

“Saya lebih rela digelar anak dara tua daripada berkahwin kerana serik dan fobia dengan kejadian menimpa saya dahulu.

“Malah saya juga tidak pernah bercadang untuk mencari pengganti walaupun ada yang mahu bercinta namun saya selesa dengan keadaan sekarang,” jelasnya kepada mStar Online.

Pelakon filem Appalam itu putus tunang selepas gambar kontroversinya bersama seorang lelaki tersebar dua tahun lalu sehingga menyebabkan dia menerima tekanan daripada keluarga kekasihnya yang kecewa dengan penyebaran gambar tersebut.

Dalam pada itu, Raja Ilya berkata, dia bukan anti lelaki tetapi pengalaman lalu membuatkannya bimbang masalah sama akan berulang.

Bagaimanapun katanya, jika ditakdirkan bertemu dengan seorang lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya dia tidak dapat menolak takdir tersebut.

“Barangkali saya tidak sesuai berada dalam perhubungan dan sekarang ini pendirian saya ingin terus kekal ‘single’ tetapi jika ditakdirkan saya bertemu dengan seseorang saya terima,” katanya.

Sementara itu, Raja Ilya berkata, fokusnya kini adalah untuk membina kembali kerjaya lakonannya dan bersyukur keputusannya untuk kembali aktif mendapat respons yang baik daripada syarikat produksi.

“Kawan-kawan banyak membantu apabila saya beritahu nak kembali berlakon dan Alhamdulillah rezeki saya murah dengan pelbagai projek.

“Saya tidak mahu mensia-siakan peluang dan kepercayaan diberikan dan ingin menebus kembali apa yang telah saya lepaskan sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Raja Ilya akan berangkat ke India untuk penggambaran filem berbahasa Tamil pertamanya berjudul Briyani.

Jelasnya, walaupun tidak mendapat watak utama tetapi ia adalah peluang terbaik untuk kerjayanya terus berkembang di Bollywood.

Raja Ilya juga bakal tampil dalam filem Pilot Cafe di samping drama bersiri Dahlia, Surat Cinta dan Epilog Cinta Khirana. – mStar Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails