Saturday, April 6, 2013

Super hero pujaan ramai



Robert Downey Jr serasi sebagai Iron Man
Robert Downey Jr serasi sebagai Iron Man

Robert Downey Jr serasi sebagai Iron Man
Robert Downey Jr serasi sebagai Iron Man

Siapa tidak kenal anak kepada pelakon, penulis skrip, penerbit dan pengarah tersohor, Robert Downey Sr ini. Pastinya bakat lakonan yang ada dalam diri aktor terkenal ini diwarisi daripada bapa dan ibunya, Elsie yang juga pelakon hebat satu ketika dahulu.

Bermula seawal usia lima tahun lagi, pelakon berusia 47 tahun ini telah muncul menerusi filem Pound arahan bapanya sendiri. Pun begitu, tidak hanya di zaman kecilnya, bintang filem Natural Born Killers ini masih laku hingga ke hari ini.

Malah, setiap tahun ada sahaja wajahnya terpampang di layar perak. Sedikit mengenai pembabitan awalnya dalam industri perfileman Hollywood, namanya mula menjadi sebutan ketika memainkan peranan sebagai James Spader dalam filem Tuff Turf sekitar tahun 1985.

Meskipun usianya baru sahaja mencecah angka 15 tahun ketika itu, namun dia telah menjadi perhatian pengarah. Malah dia diberi kepercayaan membawa pelbagai watak, misalnya dalam filem Back to School, Pretty in Pink, Weird Science, dan Air America.

Bagaimanapun, dalam banyak-banyak filem yang dilakonkannya, pemilik nama Robert Downey Jr ini mendapat pujian meluas kerana peranannya sebagai Jullian Wells menerusi filem Less Than Zero.

Dalam filem itu, Downey menjadi seorang remaja kaya yang mempunyai masalah ketagihan dadah dan sukar dikawal.

Selepas itu, era kegemilangannya bermula dan sering dipilih berdamping dengan nama-nama besar dalam industri perfileman seperti Whoopi Goldberg, Ryan O’Neal, Mel Gibson, Sally Field, Cybill Shepherd dan Kevin Kline.

Bukan calon pilihan?

Diakui kehebatan lakonannya menerusi filem Gothika, Sherlock Holmes dan Tropic Thunder tetapi pemenang Anugerah BAFTA bagi kategori pelakon lelaki terbaik ini sebenarnya lebih terkenal sebagai Iron Man.

Di awal kemunculannya dalam filem tersebut, dia menjadi sebutan peminat bukan sahaja di Hollywood malah seantero dunia.

Memainkan peranan sebagai Tony Stark atau Iron Man, pengarah Jon Favreau memberitahu, pada asalnya, Downey bukanlah calon yang layak memegang watak itu, namun kini, dia menjadi lambang kepada Iron Man.

"Saya tidak menduga dia mampu mencipta watak ini dengan begitu hebat, malah dia banyak membawa pengalaman hidupnya bersama Iron Man," katanya bangga kerana filem tersebut menjadi box-office dan mendapat kutipan tinggi sepanjang ia ditayangkan.

Dalam pada itu, lakonan berkesannya turut membawa Downey kepada pencalonan anugerah seperti Central Ohio Film Critics Association Award Actor of the Year, Saturn Award for Best Actor, Irish Film & Television Award for Best International Actor dan Spike Guy’s Choice Award for Deadliest Warrior.

Menariknya, bagi sekuel kedua Iron Man iaitu Iron Man 2, dia terus diberi kepercayaan memainkan peranan tersebut.

Kembali beraksi

Walaupun muncul menerusi The Avengers, tahun lalu, namun pastinya pengikut setia Iron Man merindui filem aksi itu kembali ke layar perak dengan sekuel terbarunya.

Setelah diumumkan tayangannya tahun ini, rata-rata peminat Iron Man sudah tidak sabar mahu melihat ketangkasan Downey dalam filem berkenaan.

Tidak mahu menghampakan mereka, sekuel ketiganya berjudul Iron Man 3 bakal menggamatkan panggung bermula 26 April ini. Masih kekal sebagai Stark atau Iron Man, Downey menjelaskan, sudah pasti sekuel ketiga ini memberi cabaran baru buatnya.

"Penonton menjangkakan sesuatu yang lebih daripada filem ini. Saya sebagai teraju utama sekuel ini amat gementar kerana bimbang tidak mampu menjadi Iron Man kesayangan mereka seperti sebelumnya," katanya.

Sedikit mengenai Iron Man 3, filem sentuhan pengarah, Sean Black ini mengisahkan Stark atau Iron Man yang terpaksa berhadapan dengan musuh  luar biasa iaitu The Mandarin.

Selain Downey, filem yang menelan belanja sebanyak RM612 juta ini turut dibintangi pelakon popular lain seperti Gwyneth Paltrow, Don Cheadle, Guy Pearce, Rebecca Hall, Stephanie Szostak, James Badge Dale, Jon Favreau dan Ben Kingsley.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails