Wednesday, June 12, 2013

Anak Pengkritik Utama Once

Once


Anak Pengkritik Utama Once


Pemilik nama Elfonda Mekel atau lebih dikenali dengan nama Once mengakui lebih selesa bergerak solo dan menganggap ianya merupakan perkara lumrah yang dilakukan oleh setiap penyanyi yang lahir dari kumpulan bagi melebarkan sayap dalam bidang nyanyian.

Menyimpan niat untuk berduet dengan Siti Nurhaliza dan Amy Search, Once yang kini sedang giat mempromosikan album terbaru yang memuatkan lagu-lagu popular seperti ‘Hilang Naluri’ dan ‘I Still Love You’ di Malaysia.

“Kepadatan jadual saya menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk mempromosikan album berjudul ‘Once’ ini. Kini saya sedang mengumpul bahan-bahan untuk album seterusnya yang dijangka keluar pada tahun ini juga,” kata Once ketika ditemui di majlis pelancaran albumnya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Once berkata, albumnya yang akan datang itu sedang dalam proses pembikinan dan bakal memuatkan 10 buah lagu. Separuh daripada lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut telah pun selesai menjalani proses rakaman.

Selain itu, Once juga sempat berkongsi cerita mengenai anak lelakinya, Manuel yang berusia 6 tahun ini. Dengan ceria dia memberitahu yang anaknya itu merupakan pengkritik utamanya dan mereka sering bermain muzik bersama.

“Walaupun anak saya baru berusia 6 tahun namun dia begitu mahir bermain piano jika dibandingkan dengan kanak-kanak seusia dengannya. Saya tidak menentang sekiranya dia ingin menjadi pemuzik. Namun lebih baik jika dia ingin menjadi seorang jurutera,” ujar Once. - Gua.Com.My

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails