Friday, June 14, 2013

Hanya Artis Popular Diberi Keutamaan Berlakon

Hanya Artis Popular Diberi Keutamaan Berlakon


Hanya Artis Popular Diberi Keutamaan Berlakon


KUALA LUMPUR – Para pelakon di negara ini hendaklah akur hanya populariti yang ada pada diri masing-masing menjadi jaminan bagi membolehkan mereka ditawarkan berlakon dalam mana-mana karya untuk siaran televisyen khususnya bawah Media Prima Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, walaupun hal itu sering menjadi keluhan, pemilihan berdasarkan populariti pelakon oleh stesen penyiaran itu menjadi salah satu faktor penting dalam menentukan keupayaan sesebuah saluran untuk mendapat rating tinggi.

“Saya akui pemilihan pelakon popular menjadi penanda aras sama ada drama atau telefilem itu akan mencapai jumlah tontonan tinggi atau tidak.

“Pihak kami mahu memberikan yang terbaik mengikut kehendak penonton. Sebab itu stesen televisyen perlu memilih sendiri pelakon yang diinginkan dalam sesebuah penerbitan agar ia tidak gagal

“Memang ramai yang mengeluh tentang hal ini apabila stesen televisyen yang menentukan pemilihan pelakon tetapi kami juga cuba membantu pelakon-pelakon yang kurang mendapat tawaran lakonan untuk membintangi watak-watak tertentu,” katanya.

Ahmad Izham ditemui pada majlis tayangan drama-drama untuk siaran Ramadan dan Aidilfitri di Alof Hotel di sini, pada Khamis.

Tambah Ahmad Izham, walaupun sering memilih nama-nama popular, pihaknya tidak pernah mengabaikan bakat-bakat baru sebagai cara perkenalan kepada penonton.

“Walaupun kami memilih hanya yang popular, tetapi bakat pelakon itu juga mesti bagus kerana penonton sekarang sudah bijak menilai yang mana berkualiti dan yang mana tidak.

“Pada masa sama, kami tetap menampilkan pelakon-pelakon baru dalam drama dan telefilem yang diterbitkan.

“Apa-apa pun, populariti tetap diutamakan dalam memilih pelakon untuk disiarkan kepada penonton,” ujarnya.

Sementara itu, menjelang sambutan Ramadan dan Aidilfitri masing-masing pada Julai dan Ogos depan, Media Prima meneruskan tradisi menyediakan pelbagai program ‘Seindah Ramadan’ dan ‘Anugerah Syawal’.

Kata Izham, pihaknya menghimpunkan pelbagai genre program seperti persembahan muzikal, dokumentari terbaik, filem, drama popular serta animasi sebagai sasaran penonton bagi saluran TV3, TV9, ntv7 dan 8TV.

Sementara itu sempena Ramadan nanti, TV3 dan TV9 akan menyiarkan program-program khas seperti Qari Junior 2, Jejak Rasul 19, Bersamamu… Penuhi Impian, Madrasah 2, Sarapan Ramadan, Sembang Sahur dan Tanyalah Ustaz Edisi Ramadan.

Bagi sambutan Aidilfitri pula, TV3 akan menyiarkan drama-drama menarik seperti Karlos Raya, Adnan Sempit Raya, Setia Hujung Nyawa Raya, Melodi raya 2013, Dikir Stail, Kisah Mualah dan FC Barcelona Asia Tour 2013.

ntv7 pula tidak ketinggalan untuk membawakan variasi rancangan bertemakan ‘Rasa Raya Rasa ceria’ yang antaranya seperti konsert Westlife: The Farewell Concert, Big Bang Big Show Concert 2011 serta edisi suntingan khas anugerah Bella Awards 2013.

Tidak ketinggalan filem-filem hebat seperti Little Fockers, How To Train Your Dragon, Crouching Tiger dan Hidden Dragon.

Manakala 8TV pula bakal menyiarkan program Muslim In China 2013, The 8TV Quickie Raya Special-The Will, Kpop Music Fest In Sydney dan M Countdown: Hello Japan pada Aidilfitri nanti. – mStar Online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails