Tuesday, June 15, 2010

Lan Pet Pet Akhirnya Tampil Sebagai Hero



Baru-baru ini, bertempat di Cathay Cineplex, Mutiara Damansara telah berlangsungnya majlis tayangan media filem komedi fantasi arahan Azhari Zain berjudul ‘Zoo’. Filem terbitan MiG ini membariskan para pelakon seperti Mazlan Pet Pet, Lisa Surihani, Bob Lokman, Angah Raja Lawak dan Azlee Jaafar.

Filem ‘Zoo’ merupakan filem pertama dalam sejarah perfileman Malaysia yang memaparkan haiwan dalam sesebuah filem. Bukan itu saja, filem ini juga merupakan filem pertama yang menampilkan Lan Pet Pet sebagai teraju utama.

Jika sebelum ini Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad memegang watak utama bersama-sama dengan anggota kumpulan Senario yang lain, namun untuk filem ‘Zoo’, Lan tampil berseorangan sebagai hero.

Ketika ditemui selepas selesai majlis tayangan, Lan telah melahirkan rasa bersyukur kerana sepanjang 14 tahun dalam karier lakonannya, dia akhirnya diberi kepercayaan untuk memegang peranan yang penting.

“Ini bukan kejayaan saya tapi kejayaan semua. Saya ingin berterima kasih kepada MiG terutama sekali David Teoh, pengarah, kawan-kawan dan peminat yang bagi dorongan dan komen yang membina.”

Lan bercita-cita menjadi tarzan
Lan memulakan kerjaya dalam dunia hiburan sejak menyertai sayembara ‘Sinaran Pasport Kegemilangan’ pada tahun 1995. Lan kemudian bergerak bersama kumpulan Senario yang kini dianggotai Azlee, Apek dan Wahid selepas anggota yang lain membawa haluan masing-masing.

Senario kemudian muncul dalam dunia perfileman pada tahun 1999 melalui filem ‘Senario The Movie’ arahan Aziz M. Osman. Menurut anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, dia berasa amat bertuah kerana dapat berlakon dalam filem ‘Zoo’.

“Saya minat sangat dengan binatang sejak kecil lagi. Cita-cita saya nak jadi tarzan. Saya selalu berdoa untuk berlakon dengan binatang. Bila umur dah 40 tahun baru dapat berlakon dengan binatang. Saya rasa bersyukur sangat-sangat Tuhan makbulkan hajat saya,” ujar Lan yang turut memberitahu dia begitu teruja berlakon dengan binatang dalam filem ini.

“Saya bangga dapat berlakon dengan anak zirafah sebab memang susah nak berlakon dengan anak zirafah. Saya seronok sangat berlakon dengan haiwan-haiwan ini. Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar.”

Filem pertama Lan menangis
Penggambaran filem ‘Zoo’ telah mengambil masa selama 25 hari di mana hampir 80% filem ini dijalankan di Zoo Negara. Menurut pengarah filem, Azhari (Zack), Lan banyak membantu sepanjang penggambaran dijalankan di zoo.

“Cerita ini adalah cerita Lan sendiri. Lan seorang pelakon yang hebat. Kehebatan Lan disempurnakan dengan keupayaannya berinteraksi dengan haiwan. Yang paling tersentuh sekali bila bersama binatang, Lan jadi diri dia sendiri.”

Azhari turut berkongsi, sepatutnya ada satu babak dengan harimau, namun ia tidak dapat dilakukan atas sebab-sebab keselamatan.

“Kita ada nak buat satu babak di mana Lan berinteraksi dengan harimau, tapi sekali dia mengaum, kita sendiri tak mampu nak menghadapi. Kita cuba juga rakam tapi ramai orang akan terperanjat.”

Lan yang gemar menonton program televisyen seperti ‘National Geographic’ turut memberitahu, ini filem pertama di mana dia telah mengeluarkan air mata sepanjang bergelar anak seni.

“Sebenarnya saya tak pandai berlakon, tapi saya selalu ikut arahan pengarah. Sejak saya jadi pelakon pada tahun 1996, ini filem pertama saya di mana saya menangis dalam filem.”

Lan elak bercakap kisah rumahtangga
Ketika ditemui, Lan yang memegang watak sebagai Ad dalam filem ‘Zoo’ turut melahirkan keinginannya untuk menjadi duta WWF (World Wide Fund for Nature) selain ingin memegang watak orang cacat.

“Saya teringin nak watak cacat. Selalu saya buat orang gelak, tapi sekarang saya nak buat orang menangis pula,” ujar Lan yang akan tampil dalam filem ‘Magika’ pada tahun ini.

Satu ketika dulu, kecoh mengenai gambar aksi ‘melampau’ Lan dengan Wangi Fabulous Cat yang tersebar di Internet, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif dari peminat industri hiburan. Gambar itu menunjukkan Lan yang berada di belakang Wangi dengan tangan memegang buah oren di depan menggambarkan seolah-olah dia sedang meraba Wangi.

“Kalau boleh saya tak nak komen hal itu. Ketika itu kami hanya bergambar dan tak ada maksud lain di sebalik gambar itu.”

Apabila ditanya apakah reaksi isterinya, Rubytah Abu Bakar @ Che Wan mengenai gambar itu, Lan menjawab, “Isteri saya kecil hati. Kalau boleh saya tak nak komen apa-apa. Saya nak jaga hati isteri dan mertua. Kalau boleh hal keluarga saya tak nak bawa ke depan.”

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails