Perjuangan Ayim di pentas Mentor 4 sudah pun berakhir malam kelmarin. Kekalahan protégé Mus itu sudah pasti membuatkan penyokong-penyokongnya kecewa dan terkejut. Apa tidaknya, Ayim atau nama sebenarnya Haimie Napsun berada di kedudukan teratas sebelum ini. Namun, segalanya berubah sekelip mata apabila pada konsert ketiga, dia diumumkan sebagai peserta yang tersingkir.
Ayim ternyata sebak apabila Ally Iskandar mengumumkan yang dia terpaksa meninggalkan pentas Mentor. Ayim dilihat bagaikan tidak boleh menerima kekalahan itu. Namun perkara ini disangkal oleh Ayim ketika ditanya tentang perasaanya di sidang media yang diadakan selepas konsert itu.
Menurut Ayim, dia menerima kekalahan itu seadanya. Tetapi kekalahan itu sama sekali tidak membunuh cita-citanya untuk bergelar penyanyi.
“Saya sudah buat yang terbaik. Jadi, saya terima kekalahan ini. Bagaimanapun saya tidak akan berhenti setakat ini. Saya akan cari peluang untuk pergi lebih jauh. Saya buat perkara ini bukan untuk suka-suka, tetapi saya ingin menjadikan nyanyian sebagai karier,” ujar Ayim berkeyakinan.
Sementara itu, mentor kepada Ayim, Mus rupa-rupanya sudah mempunyai perancangan untuk anak buahnya itu. Menurut Mus, dia sangat yakin dengan bakat yang dimiliki oleh Ayim. Malah, dia juga tidak berasa kecewa dengan kekalahan Ayim kerana baginya itu adalah adat pertandingan. Ada kalah dan menang.
“Saya tidak mahu bakat yang dimiliki oleh Ayim ini terbuang begitu sahaja. Dari awal lagi saya sudah berjanji akan buat sesuatu untuk Ayim pergi jauh dalam bidang ini. Bagi saya, kalau dia menang program ini peluangnya cukup cerah. Jika kalah, peluang tetap ada, tetapi pasti mengambil masa lebih panjang.
“Untuk pastikan Ayim terus berada di dalam bidang ini, saya bercadang untuk buat single untuknya. Jika sambutannya bagus, mungkin saya akan buat album pula untuknya. Saya akan cuba sedaya-upaya untuk membantu Ayim mencapai cita-citanya. Saya tak boleh jamin 100 peratus, tapi saya ada syarikat rakaman sendiri. Saya akan tolong mengikut kemampuan saya. Saya buat ini kerana saya tahu Ayim minat dengan muzik,” ulas Mus.
Yakin kebolehan Ayim
Ditanya mengapa dia sanggup mengeluarkan belanja sendiri semata-mata untuk bakat baru seperti Ayim, Mus memberitahu, dia sangat yakin dengan kebolehan Ayim dan nampak Ayim boleh pergi lebih jauh jika diberi pendedahan yang secukupnya.
“Bagi saya Ayim telah tunjukkan semua yang dia ada. Dia bukan sahaja boleh menyanyi, tetapi Ayim juga boleh bermain gitar dan piano. Kita kena ingat, bukan semua penyanyi boleh bermain alat muzik tetapi Ayim boleh. Setiap minggu Ayim menunjukkan peningkatan dalam persembahannya.
“Mungkin ada persembahannya yang tidak mencapai seratus-peratus, tetapi Ayim sudah lakukan yang terbaik. Saya tidak mahu perjalanannya terhenti setakat ini. Sebab itulah saya ingin membantunya,” tegas Mus.
Malam kelmarin Ayim mempersembahkan lagu “Getaran Jiwa” yang susunan muziknya telah diberi nafas baru oleh Mus. Lagu ini dilihat benar-benar mencabar kekuatan vokalnya. Untuk persembahan duet pula, Ayim menyampaikan lagu “Situasi”, bergandingan dengan Tom, My Starz LG.
Ayim mendapat komen positif daripada juri profesional, Audi Mok dan Faizal Tahir. Faizal menyifatkan Ayim sebagai seorang penyanyi yang ada gaya tersendiri.
Tuesday, June 15, 2010
Mus Buat Single Untuk Ayim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment