Di luar jangkaan! Itulah yang dapat disimpulkan apabila melihat sambutan 'dingin' yang diberikan para peminat terhadap konsert yang menggabungkan dua 'gergasi' band indie tempatan, 'Hujan vs Bunkface' yang diadakan di KL Life Centre, Sabtu lepas.
Walaupun tidak sampai 300 peminat yang hadir menyaksikan konsert yang diadakan dua malam berturut-turut itu, namun Hujan dan Bunkface seperti biasa, tetap memberikan persembahan terbaik mereka.
Kehadiran peminat yang boleh dianggap lesu pada malam pertama konsert tersebut, sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus beraksi pada malam kedua.
Hujan dan Bunkface ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut memberitahu, keadaan cuaca, 'World Cup' serta konsert yang diadakan dua malam berturut-turut mungkin menjadi punca senario tersebut terjadi.
"Pada malam ini mungkin kurang peminat yang hadir kerana hujan, tetapi malam esok kami yakin lebih ramai peminat yang akan menyaksikan persembahan kami.
"Tidak dinafikan 'World Cup' yang kini sudah sampai ke kemuncaknya juga menjadi faktor mengapa orang malas untuk keluar rumah. Tetapi bagi kami ini bukan satu masalah kerana menyanyi dan bermain muzik adalah minat kami.
"Jadi jika seorang sahaja penonton yang hadir pada malam ini pun, kami akan tetap memberikan persembahan terbaik," ujar Sam yang mewakili kumpulan Bunkface.
Katanya dia begitu teruja kerana dapat beraksi bersama kumpulan Hujan yang dianggapnya sebagai idola sewaktu mula-mula menceburi bidang nyanyian secara 'underground'. Malah pengalaman tersebut sangat indah dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
"Selepas membuat konsert ini kami bercadang untuk mengadakan sebuah konsert yang lebih besar selepas ini. Kemungkinan besar kami akan mengadakannya di Sabah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri memandangkan sambutan peminat di sana yang sangat memberangsangkan," tambahnya.
Manakala Noh yang kelihatan santai ketika ditemui memberitahu mereka sangat gembira kerana penonton yang hadir benar-benar 'enjoy' dengan persembahan mereka.
Tambah menarik, bukan sahaja peminat dari Kuala Lumpur yang hadir, malah peminat Hujan dari Kuantan, Melaka serta Singapura juga sanggup turun ke KL Life Centre semata-mata untuk memberikan sokongan.
Konsepkan 'Battle Of The Bands' menjadi
Mengimbau kembali perjalanan konsert pada malam tersebut, pentas pembukaan menyaksikan Hujan dan Bunkface beradu kekuatan menyanyikan lagu "Overture".
Selepas itu, Bunkface menarik perhatian penonton apabila menyanyikan lagu popular Hujan, "Bila Aku Sudah Tiada" dan "Aku Skandal" dengan cara mereka sendiri. Hujan tidak mahu beralah apabila muncul menyanyikan lagu yang mengangkat Bunkface ke puncak populariti, "Ekstravaganza" dan "Revolusi".
Tambah hangat apabila kedua-dua kumpulan tersebut secara berselang-seli menyanyikan lagu popular masing-masing secara berturut-turut. Antara lagu yang menjadi pilihan Bunkface ialah "Bunk Anthem", "Prom Queen" dan "Soldier". Manakala Hujan tidak kalah dengan menyanyikan lagu "Pagi Yang Gelap", "Jiwa Kelajuan" dan "Kau Harus Ada".
"Konsep selang-seli ini kami buat sebab konsert ini berkonsepkan 'battle of the bands'. Kami sama-sama berbincang dan merancang persembahan yang kami lakukan.
"Namun kebanyakan perkara yang berlaku di pentas pada malam ini adalah tidak dirancang. Namun nampaknya peminat menyukainya dan kami cukup puas dengan apa yang kami persembahkan," ujar Noh ketika ditanya mengenai konsep persembahan yang mereka paparkan pada malam itu.
Untuk segmen kedua, Hujan menguasai pentas dengan menyanyikan lagu-lagu popular mereka seperti "Dugaannya", "Obsesi", "Empayarmu", "Mencari Konklusi", "Aku Skandal" dan "Bila Aku Sudah Tiada". Sementara itu, Bunkface terus berseronok dengan menyanyikan lagu "Silly Lily", "Escape Dance", "Dunia" dan "Through My Window".
Sebagai penutup, Hujan dan Bunkface bergabung sekali lagi menyanyikan lagu "Situasi" dan "Ludah Amerika" secara medley.
Secara keseluruhan, Konsert Hujan vs Bunkface sangat menghiburkan. Aksi serta gelagat Noh dan Sam ketika di pentas wajar dipuji kerana selain menghidangkan kualiti vokal yang mantap, mereka turut berjaya membuatkan penonton ketawa dengan lawak bersahaja serta keletah spontan mereka.
Wednesday, July 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment