Friday, July 16, 2010
Nabil: Saiful Apek Tetap Mentor Saya
Insiden yang membabitkan pelawak terkenal, Saiful Apek yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah sedikit masa lalu, sememangnya menggemparkan masyarakat khususnya para peminat.
Berikutan kejadian tersebut, pelbagai gambaran negatif dilabelkan kepada Saiful yang sebelum ini cukup sinonim dengan kumpulan jenaka, Senario.
Namun buat pelawak muda, Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nabil Raja Lawak, dia tetap menganggap Saiful sebagai mentornya walau apa pun yang terjadi.
"Saya sendiri terkejut dengan berita itu. Namun sepanjang saya mengenalinya, saya anggap dia sebagai mentor, kawan dan juga abang saya. Dia tidak pernah menyuruh saya membuat kerja-kerja yang tidak betul, sebaliknya banyak menasihatkan diri saya seperti mana seorang abang memberi nasihat kepada adiknya dan seorang guru memberi nasihat kepada anak muridnya.
"Apa yang boleh saya katakan, setiap manusia itu tidak pernah sempurna dan apa salahnya kita beri dia peluang untuk memperbaiki dirinya," ujar Nabil ketika ditemui di majlis pelancaran teater muzikal Cuci di Istana Budaya, Kuala Lumpur Selasa lalu.
Dalam pertemuan itu juga, anak kelahiran Mambau, Seremban, Negeri Sembilan itu memberitahu, selepas kejadian tersebut dia pernah menghantar beberapa SMS kepada Saiful kerana sedar, dia (Saiful) memerlukan sokongan moral daripada rakan-rakan. Namun bekas juara Raja Lawak musim ke-2 itu mengakui belum berkesempatan bertemu muka dengannya sehingga kini.
"Saya sedar dia sememangnya memerlukan sokongan semua pihak kini. Oleh sebab itu saya menghantar SMS kepadanya dan dia telah membalas. Saya menyatakan, jika dia mempunyai sebarang masalah supaya memberitahu saya. Apa yang boeh saya tolong, saya akan cuba tolong.
"Cuma buat masa ini dia belum bersedia untuk bertemu dengan saya. Mungkin mahu berehat seketika. Saya sedar apa yang dialami olehnya bukan mudah dan pastinya memberikan tekanan kepadanya.
"Saya akui keluarga saya juga bukanlah satu keluarga yang sempurna dan pernah menghadapi masalah seperti ini. Oleh sebab itu kita tidak boleh jauhkan diri dengan orang sebegini kerana mereka akan rasa diri mereka terpinggir dan akhirnya lebih jauh daripada kita semua," jelas anak ketiga daripada tujuh beradik itu matang.
Tambahnya, Saiful Apek sudah lebih 16 tahun berada di dalam industri seni dan selama itu dia sentiasa menghadirkan senyuman dan ketawa kepada orang ramai.
Berinya peluang
Oleh sebab itu, Nabil yang sebelum ini pernah membintangi filem 'Kecoh Betul', 'Lu Pikirlah Sendiri de Movie' dan 'Pisau Cukur' berharap agar para peminat dapat memberikan Saiful peluang sekali lagi untuk terus menghiasi dunia seni tempatan.
"Kehadiran Saiful di tengah-tengah populariti penyanyi dan pelakon di Malaysia memang sangat mengejutkan hingga pernah dinobatkan sebagai Bintang paling Popular.
"Apa yang boleh saya katakan, dia telah memecahkan monopoli penyanyi dan pelakon di Malaysia. Cuma saya harap, orang ramai dapat memberikannya peluang.
"Mungkin ada yang beranggapan, ini bukan kali pertama Saiful melakukan kesalahan yang sama dan tidak wajar diberikan peluang kedua, namun seperti yang saya katakan tadi, setiap manusia tidak pernah lepas daripada membuat kesilapan dan memberikan kemaafan adalah perbuatan yang paling baik," jelas Nabil yang juga bertindak sebagai pengacara program 'Ewah-Ewah' dan 'Pondok-Pondok'.
Pelakon telemovie 'Sonata Labu Labi' dan 'Hua, Hua, Hua' itu juga menyatakan sebagai selebriti sememangnya mereka semua perlu menjaga tingkah laku kerana peminat selalu menjadikan para selebriti sebagai idola.
Oleh sebab itu kata Nabil, selama ini dia selalu menjauhkan diri daripada gejala yang tidak bermoral termsuklah tidak menghisap rokok serta minum minuman keras walaupun dia pernah digosipkan melakukan kegiatan tersebut.
"Saya cukup terkilan apabila satu ketika saya dituduh sebagai selebriti yang suka minum arak. Di sini saya mahu beri penjelasan bahawa saya tidak pernah menyentuh arak dan tidak mahu dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak pernah saya lakukan," ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Lelaki dalam Festival Filem Malaysia ke-22.
Labels:
Gossip Artis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment